KUALA LUMPUR:Kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan untuk membuat peraturan menjalankan ujian calitan COVID-19 terhadap warga asing bagi menjaga keselamatan penduduk di kawasan mereka.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semuanya terpulang kepada pihak pengurusan kondominium atau mana-mana kawasan perumahan untuk menjalankan ujian itu atau tidak.

Tegasnya, tidak ada juga polisi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengatakan sesiapa yang ingin masuk ke dalam kondominium atau mana-mana kawasan perumahan mesti dibuat ujian saringan terlebih dahulu.

"Kondominium dan apartment tertutup adalah kawasan ‘private’ (persendirian) yang mana pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka.

"Malah mereka boleh membuat peraturan menyekat pelawat masuk ke kawasan kondominium mereka tertakluk kepada undang-undang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar.

Selain itu, turut ditamatkan ialah PKPD di Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi (PKRC) di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA), Taiping, Perak.

Dalam perkembangan berasingan ujarnya, seramai 413 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 396 dikompaun manakala 17 lagi individu direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (101), tidak memakai pelitup muka (84), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (64), tiada penjarakan fizikal (48), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (38) dan lain-lain (78)," katanya.

Tambahnya, Operasi Benteng (Op Benteng) pada Khamis juga telah menangkap 32 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua buah kenderaan darat.

Dalam operasi itu ujarnya, pihak berkuasa turut mengesan 105 bot dan kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.

Katanya lagi, sebanyak 76 operasi sanitasi telah dilaksanakan meliputi 44 zon merah, tiga zon jingga, empat zon kuning dan dua zon hijau di seluruh negara.

Sementara itu jelas Ismail, seramai 652 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa pada Khamis dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

"Sejak 24 April 2020, seramai 112,110 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 76 hotel dan 13 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

"Sehingga kini, seramai 103,872 orang dibenarkan pulang manakala 541 lagi telah dibawa ke hospital," ujarnya.

Katanya lagi, anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat 23 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara pada Khamis dan mendapati, 22 tapak binaan terbabit mematuhi SOP manakala satu lagi sebaliknya.

Sementara itu tegas Ismail, 116 daripada 7,217 pekerja warga asing yang menjalani ujian saringan pada Khamis disahkan positif pandemik.

Secara kumulatifnya, sejak 1 Disember 2020, seramai 242,500 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 10,051 majikan.

Daripada jumlah ini seramai 4,602 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 237,898 lagi adalah negatif.