MALAYSIA

Tiada isu dijangka timbul ketika Nik Faisal dilantik sebagai pemegang mandat akaun AmBank - Najib

Bernama 21/01/2026 | 12:45 MYT
Najib, 72, berkata beliau mempercayai syor yang kuat oleh bekas Setiausaha Sulit utamanya iaitu Datuk Azlin Alias meskipun sedar akan risiko kewangan yang berpotensi timbul daripada tindakan melantik seseorang yang belum pernah ditemui. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak menjangkakan sebarang masalah akan timbul berkaitan akaun peribadi Ambank miliknya selepas bersetuju dengan pelantikan bekas Pengarah International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang mandat akaun berkenaan pada 2011.


Ringkasan AI
  • Najib tidak menjangka masalah berkaitan akaun peribadi Ambank miliknya selepas melantik Nik Faisal sebagai pemegang mandat akaun pada 2011, walaupun menyedari risiko kewangan yang mungkin timbul.
  • Najib menegaskan akaun peribadi tersebut sebenarnya ditujukan untuk menerima sumbangan bagi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan bukan untuk kegunaan peribadi.
  • SRC dan Gandingan Mentari memfailkan saman pada 2021 menuntut Najib bertanggungjawab terhadap penerimaan RM42 juta serta menuntut ganti rugi berhubung pengetahuan, bantuan tidak jujur, dan penyalahgunaan kuasa.


Najib, 72, berkata beliau mempercayai syor yang kuat oleh bekas Setiausaha Sulit utamanya iaitu Datuk Azlin Alias meskipun sedar akan risiko kewangan yang berpotensi timbul daripada tindakan melantik seseorang yang belum pernah ditemui.

"Pertama sekali, Nik Faisal adalah seorang akauntan yang berkelayakan dan kedua, saya dimaklumkan bahawa bapa beliau ialah bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Nik Ahmad Kamil Nik Mahmood yang amat rapat dengan Almarhum ayahanda saya... atas sebab itu, saya tidak membantah pelantikan beliau.

"Saya pernah berurusan dengan beliau di SRC namun sebelum itu, saya tidak pernah berjumpa dengannya secara peribadi... dalam surat pelantikan Nik Faisal, tulisan nama beliau bukan milik saya," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam SRC iaitu Kwan Will Sen pada prosiding saman RM42 juta yang difailkan syarikat berkenaan dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadap beliau.

Ditanya sama ada beliau pernah menimbang untuk melantik individu lain yang lebih dikenali seperti Azlin sebagai pemegang mandat akaun terbabit, Najib berkata setiausahanya itu terlalu sibuk namun beliau percayakan saranan Azlin.

Najib juga berkata meskipun akaun itu kelihatan seperti akaun peribadi namun ia sebenarnya bertujuan menerima sumbangan bagi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Akaun-akaun ini bukan bersifat peribadi dalam erti kata saya menggunakannya untuk urusan peribadi. Ia memang atas nama saya namun dikhaskan bagi menerima sumbangan untuk melaksanakan aktiviti CSR.

"Hasrat ini tidak dinyatakan secara bertulis namun pada fikiran saya, dana itu adalah untuk disalurkan kepada aktiviti CSR," katanya.

Saman itu, yang difailkan pada 2021, menyaksikan SRC dan Gandingan Mentari memohon deklarasi bahawa Najib bertanggungjawab terhadap mereka atas penerimaan RM42 juta serta menuntut ganti rugi bagi penerimaan dengan pengetahuan, bantuan tidak jujur, tort salah laku dalam jawatan dan penyalahgunaan kuasa.

Nik Faisal, yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman ini bersama-sama lima lagi bekas pengarah syarikat berkenaan, masih bebas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.

-- BERNAMA



#ambank #pemegang mandat #Najib Razak #Nik Faisal Ariff Kamil