Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Tiada jurubahasa, pertuduhan lima warga Iran ditangguh 10 Sept

Bernama 15/08/2025 | 09:10 MYT
Lima warga Iran termasuk dua wanita dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret berasingan di sinI hari ini. - Gambar/ Bernama
GEORGE TOWN: Lima warga Iran termasuk dua wanita dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi menghadapi pertuduhan berasingan membabitkan kesalahan mencuri, dadah dan kesalahan di bawah Akta Imigresen.


Ringkasan AI
  • Lima warga Iran berumur 19 hingga 33 tahun, termasuk dua wanita, dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret atas pertuduhan berasingan melibatkan kesalahan mencuri, memiliki dadah dan tinggal lebih masa di Malaysia di bawah Akta Imigresen.
  • Pertuduhan tidak dibacakan kerana kesemua tertuduh tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris; mahkamah menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa Parsi hadir.
  • Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap semua tertuduh atas permohonan pihak pendakwaan, manakala peguam memohon jaminan dikurangkan atas faktor usia dan kerjasama tertuduh. .


Bagaimanapun, pertuduhan terhadap warga asing berumur 19 hingga 33 tahun itu tidak dibacakan kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris.

Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin, Nadratun Naim Mohd Saidi dan Muhammad Amzar Ismail kemudian menetapkan 10 Sept ini untuk sebutan kes bagi membolehkan jurubahasa yang fasih berbahasa Parsi hadir ke mahkamah, dan tidak membenarkan ikat jamin terhadap semua tertuduh.

Peguam R. Thandayuthabany Pillay yang mewakili kesemua tertuduh memaklumkan mereka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa, serta Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

"Terdapat keperluan untuk jurubahasa Parsi hadir supaya pertuduhan dapat dibacakan kepada mereka," katanya ketika prosiding.

Timbalan Pendakwa Raya di ketiga-tiga mahkamah berkenaan, Lau Shavin, Ahmad Danial Amir Saad dan Syairah Aqilah Khalil, memohon supaya kesemua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dengan alasan mereka ialah warga asing.

-- BERNAMA



#kes mahkamah #warga Iran #kes dadah #kes curi