KUALA LUMPUR: Hujan yang turun di beberapa kawasan di seluruh negara sejak petang semalam membantu mengurangkan kepekatan bahan pencemar di udara, sekali gus meredakan keadaan jerebu yang melanda ketika ini.
Sehingga jam 6 pagi Khamis, tiada kawasan direkodkan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat.
Bagaimanapun, sebanyak 21 kawasan masih merekodkan bacaan IPU tidak sihat dengan beberapa lokasi di Sarawak mencatat bacaan tertinggi, iaitu Sarikei (192), Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian (191), Samarahan (183) dan Kuching (174).
Di Semenanjung, antara kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah Batu Muda, Batu Pahat, Seremban, Nilai, Cheras dan Alor Gajah.
Sementara itu, 40 kawasan lain mencatatkan bacaan pada tahap sederhana.
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan terus mengambil langkah berjaga-jaga serta mengurangkan aktiviti luar sekiranya berada di kawasan yang masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.