PUTRAJAYA: Warga asing tidak dibenarkan memandu treler biarpun terdapat desakan daripada pihak industri yang mendakwa berlaku kekurangan pemandu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Memetik data bidang pengangkutan dalam negara bagi 2022, menurut Loke terdapat 766 syarikat pengangkutan dengan bilangan penggerak utama adalah sebanyak 16,465 dan treler sebanyak 61,616 manakala bilangan pemandu adalah seramai 12,326.

"Pendirian kerajaan setakat ini adalah tiada dasar untuk membenarkan pemandu warga asing memandu treler biarpun pemain industri mendesak dengan mengatakan lebih banyak pemandu treler diperlukan bagi menjadikan negara berdaya saing," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bil 1/2023 di sini hari ini.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Loke berkata lembaga pelabuhan telah diminta bekerjasama dengan operator pelabuhan kerana terdapat pemandu treler dalam kawasan pelabuhan namun mereka tidak mempunyai lesen kelas E iaitu lesen motokar berat tanpa muatan melebihi 7,500 kilogram.

"Kita hendak melatih pemandu yang bekerja dalam kawasan pelabuhan agar mereka boleh memiliki lesen E dan GDL (lesen kenderaan barangan), iaitu apabila mereka keluar daripada pelabuhan, mereka ada pilihan sebagai pemandu haulier (pengangkut)," katanya.

Mengenai pengurusan depoh kontena, beliau berkata terdapat pelbagai pertikaian antara pihak syarikat logistik dan syarikat perkapalan dari segi pengurusan caj di depoh namun tiada kata sepakat dicapai setakat ini.

"Mereka (pemegang taruh) meminta kerajaan kawal selia depoh kontena supaya ada satu kerangka perundangan merangkumi pengurusan caj dan servis standard.

"Jika tidak dapat mencapai servis standard, kerajaan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) boleh mengenakan tindakan kepada pengusaha depoh kontena tersebut," katanya.

Mengulas mengenai rampasan 336 kilogram (kg) dadah jenis heroin yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lepas, Loke berkata beliau tidak mempunyai maklumat terperinci mengenainya namun menegaskan kementerian memandang serius dan akan menyiasat segera isu tersebut.

Semalam (10 April), Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dilaporkan berkata Pihak Berkuasa Australia merampas dadah berkenaan yang dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta), dengan semakan mendapati penghantaran berkenaan diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba pada 13 Mac lepas di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

"Kalau apa-apa kargo berasal dari Malaysia yang didapati menggunakan pelabuhan kita untuk mengangkut barang larangan terutamanya dadah, adalah satu kesalahan amat serius dan saya akan mendapatkan maklumat lanjut tentang ia daripada pelabuhan mana," kata Loke.

-- BERNAMA