Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan tiada sebarang kematian akibat dari kejadian pembuangan sisa toksik di daerah Johor Bahru seperti yang tular di media sosial.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Selahuddeen Abd Aziz turut menafikan penularan kenyataan melalui Whatsapp mengenai pengisytiharan Red Alert oleh pihak Hospital Sultan Ismail Johor Bahru yang turut tular pada Selasa.

"JKNJ ingin menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada mempercayai dan menyebar maklumat palsu yang boleh menimbulkan kerisauan.

"Pihak JKNJ juga menyeru agar masyarakat lebih prihatin dan hanya mendapatkan maklumat sahih dari pihak berwajib.

"Maklumat terkini keadaan akan disiarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kenyataan tular itu antara lain mendakwa pengarah hospital mengisytiharkan amaran 'Red Alert' kerana pencemaran udara yang tersebar di Pasir Gudang.

Ia turut mendakwa angin yang bertiup kencang menyebarkan toksik dan menyebabkan ramai penduduk di Seri Alam dan Plentong dimasukkan ke hospital.

Kenyataan berkenaan turut menasihatkan orang ramai supaya memakai topeng penutup mulut.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan (menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan) dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan (kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun).

"Sehubungan dengan kejadian itu (kejadian 7 Mac), pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu (pembuangan sisa toksik) agar dapat tampil membantu siasatan polis," katanya dalam satu kenyataan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes ASP Nurul Bazilah Jaafar dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis Ibu Pejabat Daerah Seri Alam di talian 07-3864222.

Khamis lepas, pembuangan sisa kimia di sungai berkenaan mengakibatkan tiga insiden di empat sekolah di Pasir Gudang, dengan satu terbaru pada Selasa, dipercayai kesan pencemaran dari bahan sisa berkenaan.

Setakat ini, 13 buah sekolah sekitar Pasir Gudang diarah tutup mulai Rabu sehingga satu tarikh ditetapkan kemudian.