Tiada keperluan guna Tasik Putrajaya sebagai sumber air alternatif

Bernama
November 3, 2020 08:17 MYT
Cadangan penggunaan air daripada Tasik Putrajaya apabila berlaku sebarang kecemasan atau pencemaran adalah di luar bidang kuasa Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan kerajaan negeri. - Gambar fail
SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini dimaklumkan bahawa tiada cadangan untuk menggunakan sumber air daripada Tasik Putrajaya sebagai langkah alternatif sekiranya berlaku pencemaran sungai di negeri itu.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Ir Izham Hashim berkata walaupun Tasik Putrajaya dijangka mampu membekalkan air kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih untuk tempoh sehingga 17 hari, namun belum ada keperluan untuk menggunakan sumber berkenaan setakat ini.
Beliau berkata cadangan penggunaan air daripada Tasik Putrajaya apabila berlaku sebarang kecemasan atau pencemaran adalah di luar bidang kuasa Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan kerajaan negeri.
"Namun disebabkan Air Selangor turut menguruskan bekalan air terawat kepada Putrajaya dan Kuala Lumpur, pihak berkenaan memohon kepada kementerian berkaitan untuk membenarkan penggunaan sumber air daripada Tasik Putrajaya termasuk untuk kerja-kerja pemasangan paip pengepaman jika berlaku kecemasan tapi belum ada jawapan lagi setakat ini daripada kerajaan pusat," katanya pada sidang DUN Selangor di sini.
Beliau menjawab pertanyaan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) mengenai sama ada Tasik Putrajaya boleh menjadi sumber air kecemasan apabila berlaku pencemaran di intake Sungai Semenyih.
Izham berkata kerajaan negeri bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga sedang meneliti kemungkinan terdapat kolam di sekitar Sungai Semenyih khususnya di kawasan hiliran sungai yang boleh dimanfaatkan untuk menangani isu kecemasan atau pencemaran sumber air pada masa depan.
Sementara itu, DUN Selangor juga dimaklumkan bahawa projek Selangor Business Capital (SBC) di Cyberjaya bakal mewujudkan bandar baharu di kawasan selatan negeri berkenaan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata projek tersebut juga disasar mampu mempercepatkan pembangunan pelbagai infrastruktur moden yang menjadi asas kepada pertumbuhan bandar baharu.
"Selaku pihak bertanggungjawab yang akan membangunkan pusat ekonomi baharu ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan memohon kebenaran merancang pada suku pertama tahun depan.
"Kami yakin SBC mampu mengubah landskap dan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan membawa pelbagai limpahan manfaat kepada negeri serta negara," katanya.
Amirudin menjawab pertanyaan Datuk Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) yang ingin tahu mengenai status pelaksanaan Pelan Pembangunan SBC.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga dalam proses melakukan penilaian untuk mengenal pasti rakan strategik serta pelabur berpotensi untuk melabur bagi projek SBC dan prapelancaran projek berkenaan dijangka dijalankan dalam tempoh terdekat.
"Pembangunan projek tersebut sepatutnya dimulakan pada tahun ini namun penularan pandemik COVID-19 telah menjejaskan perancangan yang dilakukan," katanya.
Projek SBC dirancang untuk dibangunkan PKNS di Selangor Cyber Valley, Cyberjaya di atas tanah seluas 56 hektar dan terletak di lokasi strategik antara Cyberjaya, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Klia2.
-- BERNAMA
#Tasik Putrajaya #bekalan air #sumber air #Air Selangor #kerajaan negeri #Selangor #gangguan air #loji rawatan air