MALAYSIA

Tiada keperluan mendesak pindaan besar Akta DBP 1959 - Hazami

Bernama 04/07/2025 | 21:00 MYT
Hazami menegaskan, usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan tidak boleh bergantung kepada undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu dipupuk melalui kecintaan dan rasa tanggungjawab rakyat. - Foto Facebook DBP
BACHOK: Tiada keperluan mendesak untuk melakukan pindaan besar terhadap Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 kerana aspek penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi telah diperkukuh menerusi perundangan sedia ada, termasuk pekeliling kerajaan yang jelas menggariskan kewajipan penggunaan bahasa yang baik dan betul di semua peringkat perkhidmatan awam.


Ringkasan AI
  • Tiada Keperluan Pindaan Besar Akta DBP - Akta DBP 1959 tidak perlu dipinda secara besar kerana perundangan sedia ada sudah cukup kuat untuk menguatkuasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi.
  • Cadangan Pindaan Fokus Perkasa Peranan DBP - Pindaan yang dicadangkan bertujuan memperkasakan DBP sebagai badan utama bahasa dan sastera, termasuk memberi kuasa pengiktirafan kursus dan bahan penerbitan serta memperluas penggunaan Bahasa Kebangsaan ke peringkat antarabangsa.
  • Pentingnya Sikap dan Kesedaran Rakyat - Memartabatkan Bahasa Kebangsaan bukan hanya bergantung pada undang-undang, tetapi juga perlu dipupuk melalui kecintaan, tanggungjawab, dan kesedaran rakyat untuk menghargai bahasa sendiri.


Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari berkata penguatkuasaan berkaitan bahasa sebenarnya telah lama termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Beliau berkata perkara itu turut disokong oleh pelbagai peruntukan lain termasuk Akta Pendidikan, undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) serta keperluan penggunaan bahasa Melayu dalam pelabelan barangan dan pengiklanan di ruang awam.

"Selepas 69 tahun DBP ditubuhkan, kita sebenarnya tidak menghadapi masalah besar dari segi penguatkuasaan penggunaan Bahasa Kebangsaan kerana perundangan yang ada sudah mencukupi. Apa yang perlu sekarang ialah pelaksanaan dan kesungguhan semua pihak termasuk ketua agensi, PBT dan masyarakat sendiri.

"Pindaan akta yang sedang dipertimbangkan pada ketika ini bukanlah untuk 'menangkap pesalah bahasa' sebagaimana pernah digembar-gemburkan, sebaliknya lebih menjurus kepada usaha memperkasakan peranan DBP sebagai badan utama dalam pembangunan dan pengiktirafan Bahasa dan Sastera Kebangsaan," katanya selepas merasmikan Perkampungan Penulis Wilayah Timur di sini semalam.

Hazami berkata antara cadangan pindaan utama adalah memberi kuasa kepada DBP meluaskan penggunaan dan perkembangan Bahasa Kebangsaan ke peringkat antarabangsa serta menjadikan DBP sebagai badan tunggal yang mengiktiraf kursus bahasa dan bahan penerbitan berkaitan bahasa dan sastera negara.

Selain itu, beliau berkata DBP juga mahu diberi kuasa mewajibkan bahan penerbitan mendapat pengesahan DBP sebagai pengiktirafan rasmi.

Hazami turut menegaskan usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan tidak boleh bergantung kepada undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu dipupuk melalui kecintaan dan rasa tanggungjawab rakyat terhadap bahasa milik negara.

"Di negara seperti Jepun dan Thailand, tiada undang-undang khas untuk 'menangkap pesalah bahasa', tetapi rakyat mereka mempunyai kesedaran tinggi dan bangga menggunakan bahasa sendiri. Ini yang perlu kita tanam dalam diri masyarakat Malaysia," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilapor berkata pindaan itu adalah antara usaha memperkasakan peranan DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, selain peruntukan khas RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025.

-- BERNAMA


#Akta DBP 1959 #Dewan Bahasa dan Pustaka #Hazami Jahari #pinda akta