KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan yang telah dibentuk baru-baru ini.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menegaskan, pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan yang dibuat sebelum ini mengikut lunas undang-undang.

Menurut beliau, ketelitian proses pemilihan dijalankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memilih Perdana Menteri menunjukkan pelantikan Ismail Sabri adalah sah menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain.

BACA: 69 Menteri, Timbalan Menteri angkat sumpah di Istana Negara hari ini

“Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam  kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara pada Sabtu.

Tambah beliau, keputusan Al-Sultan Abdullah yang berkenan melantik Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 juga selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa budi bicara kepada Seri Paduka Baginda untuk melantik Perdana Menteri harus dibaca bersama Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri hendaklah dilantik dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.


Mesyuarat Pra-Kabinet | PM menghadap Agong untuk pertama kali

“Ternyata sekali pelantikan Perdana Menteri merupakan tanggungjawab perlembagaan (constitutional responsibility) dan kuasa mutlak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Tambahnya lagi, tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah pun diputuskan oleh Seri Paduka Baginda sendiri.

“Bagi tujuan tersebut, Seri Paduka Baginda telah pun mengadakan sesi menghadap bersama ketua-ketua parti politik utama negara pada 17 Ogos 2021 di mana kesemua 220 ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Mereka telah diminta untuk menyatakan nama ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration).


Kabinet Baharu | 31 Menteri, 37 Timbalan Menteri angkat sumpah

“Seterusnya, nama-nama bakal Perdana Menteri daripada kesemua 220 ahli-ahli Dewan Rakyat telah dikemukakan kepada pihak Istana Negara, masing-masing menerusi surat akuan pada 18 Ogos 2021 lalu,” katanya.

Seramai 114 ahli Dewan Rakyat dipanggil menghadap pada 19 Ogos 2021 untuk mengesahkan kepercayaan mereka kepada ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan iaitu Ismail Sabri.

Seterusnya, pada 21 Ogos 2021, Perdana Menteri baharu telah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan di hadapan Seri Paduka Baginda menurut kehendak Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 20 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Ismail Sabri mengambil alih kepimpinan negara selepas kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin runtuh ekoran penarikan sokongan daripada 15 Ahli Parlimen UMNO.