Tiada keperluan panggil Tun Daim berhubung panggilan Jho Low- Noor Rashid

Bernama
September 7, 2018 10:46 MYT
Pada 6 Sept lepas, Daim mendedahkan Jho Low ada menghubunginya beberapa kali bagi berhubung isu 1MDB. - Gambar fail
Tiada keperluan bagi polis memanggil Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) Tun Daim Zainuddin yang mendedahkan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low menghubunginya bagi membincangkan isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata ini kerana perkara berkenaan bukanlah sebahagian daripada siasatan polis.
“Sekarang ini kami masih lagi mengumpul bukti (1MDB) untuk menyelesaikan siasatan kes berkenaan.
“Bagi saya tiada keperluan memanggil beliau (Tun Daim) untuk diambil sebarang keterangan kerana ia bukan dalam siasatan polis,” katanya dalam sidang akhbar majlis penutup seminar jawatankuasa antarabangsa Palang Merah di sini, hari ini.
Selain itu, Noor Rashid berkata pihaknya telah mengemukakan notis merah kepada pihak Interpol bagi mengesan Jho Low.
“Siasatan kes 1MDB masih diteruskan seperti biasa,” katanya yang enggan mengulas lanjut perkembangan kes itu.
Pada 6 Sept lepas, Daim mendedahkan Jho Low ada menghubunginya beberapa kali bagi berhubung isu 1MDB.
Selain itu, Jho Low juga ada menghubunginya ketika bekas Menteri Kewangan itu menggesa ahli perniagaan berkenaan pulang ke Malaysia jika dirinya tidak bersalah dalam skandal 1MDB.
Jho Low pernah menawarkan diri untuk membantu dalam kes 1MDB ketika kunjungan Daim ke China pada Jun lalu, namun beliau enggan melayan permintaan ahli perniagaan kontroversi itu.
-- BERNAMA
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Daim Zainuddin #Interpol #Jho Low #Ketua Polis Negara #Malaysia #Noor Rashid Ibrahim