KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Persekutuan (JKWPKL&P) menegaskan tiada kes tuberkulosis (tibi) berstatus wabak di Cheras.

Pengarahnya, Dr Nor'Aishah Abu Bakar berkata, siasatan mendapati tiga kes tibi di sebuah pangsapuri di Cheras bukan disebabkan jangkitan antara satu sama lain dan tidak diklasifikasi sebagai wabak tibi.

Beliau turut menjelaskan, maklumat yang ditularkan berkaitan bilangan kes tibi di beberapa lokasi dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga tidak tepat.

"Bilangan kes tibi sebenar pada tahun 2023 bagi lokasi yang terletak dalam kawasan Cheras ialah Taman Pertama (enam kes; semua masih dalam rawatan), Kampung Cheras Baru (lima kes; tiga kes masih dalam rawatan), Pudu (30 kes; 18 kes masih dalam rawatan) dan Fraser Business Park (tiada kes), " katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penularan maklumat mengelirukan berhubung Aktiviti Pengesanan Kes Secara Aktif ( ACD) penyakit tibi yang dilaksanakan di salah sebuah pangsapuri di Cheras susulan pengesanan tiga kes tibi di situ.

Maklumat lain yang turut ditularkan adalah berkaitan bilangan kes tibi di beberapa lokasi dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu Taman Pertama (10 kes),Kampung Cheras Baru (19 kes), Taman Muda KL (22 kes),Taman Lembah Maju (19 kes), Taman Cahaya (15 kes), Pudu (18 kes) dan Fraser Business Park (15 kes) yang dilabelkan sebagai wabak tibi aktif di Cheras.

Dr Nor'Aishah berkata, sehingga 17 November lalu, terdapat 1, 685 kes tibi dilaporkan dalam kawasan operasi JKWPKL&P mengikut pecahan pejabat kesihatan.

"Pejabat Kesihatan Cheras (387 kes; 278 kes masih dalam rawatan), Kepong (424 kes; 250 kes masih dalam rawatan) dan Lembah Pantai (424 kes; 218 kes masih dalam rawatan).

"Selain itu, Pejabat Kesihatan Titiwangsa (399 kes; 212 kes masih dalam rawatan) manakala Putrajaya (51 kes; 29 kes masih dalam rawatan)," tambahnya.

Ujar beliau, pihaknya menghargai inisiatif masyarakat membantu dalam membuat hebahan maklumat berkaitan penyakit tibi bagi bersama-sama membendung penularan jangkitan tibi dalam komuniti.

Bagaimanapun katanya, masyarakat diminta untuk mengelakkan daripada membuat penularan maklumat mengelirukan serta tidak dipastikan kesahihannya.

"Pengesahan maklumat terlebih dahulu daripada pihak bertanggungjawab seperti Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri adalah diperlukan dan masyarakat diminta untuk tidak menyebarkan atau berkongsi maklumat sekiranya tidak pasti.

"JKWPKL&P sentiasa memberikan komitmen dalam mengelakkan penularan penyakit berjangkit dan memastikan rawatan yang optima diberikan kepada pesakit," katanya.

- Sinar Harian