Banjir: Hilir Perak catat jumlah mangsa tertinggi, pusat pemindahan di Selangor berkurangan
MALAYSIA

Tiada kesan brek, SUV terjunam terus ke dalam gaung - Polis

Sinar Harian 07/12/2025 | 05:45 MYT
Keadaan kenderaan SUV yang dinaiki sepasang bakal pengantin terbabas ke dalam gaung sedalam 60 meter di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah) dekat Tasik Kenyir dan Sharudin (Gambar kecil).
HULU TERENGGANU: Tiada kesan brek ditemui di lokasi kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terjunam ke dalam gaung dalam kejadian di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris – Sungai Gawi – Aring (Bukit Kawah) pada Jumaat.


Ringkasan AI
  • Tiada kesan brek ditemui di lokasi kemalangan SUV terjunam ke dalam gaung di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris - Sungai Gawi - Aring, menimbulkan isu keselamatan jalan raya di kawasan tersebut.
  • Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab menyatakan bahawa kemalangan itu mungkin berpunca daripada kecuaian pemandu yang tidak memberi tumpuan penuh ketika memandu.
  • Operasi mengeluarkan kenderaan itu mengambil masa hampir empat jam disebabkan cuaca hujan, dan pihak polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang mengalih atau mengganggu tanda keselamatan jalan di lokasi kemalangan.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kenderaan itu dipercayai dipandu terus menghala ke kawasan jalan terputus sebelum terjatuh sedalam 61 meter.

Menurutnya, siasatan awal mendapati SUV tersebut bergerak ke arah laluan yang sebelum ini ditutup akibat insiden tanah runtuh tahun lalu.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian juga mendapati kelajuan kenderaan tidak tinggi berdasarkan serpihan yang ditemui pada lereng gaung.

"Jika pemandu memandu laju, biasanya kenderaan akan 'melayang' sedikit sebelum terjatuh.

"Berdasarkan serpihan kenderaan di kawasan lereng gaung, kita yakin kenderaan ini tidak dipandu laju dan terus terjunam ke bawah (gaung)," katanya ketika dihubungi, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya percaya punca kemalangan lebih kepada faktor kecuaian kerana tidak memberi tumpuan penuh ketika memandu.

Selain itu, Sharudin memberitahu, pemeriksaan ke atas SUV tersebut menemukan tapak kamera papan pemuka (dashcam), namun alat tersebut tidak ditemui dan dipercayai tercampak ketika kejadian.

Ditanya mengenai operasi mengeluarkan kenderaan itu, Sharudin berkata, ia mengambil masa hampir empat jam berikutan keadaan cuaca hujan yang menyukarkan proses membawa naik SUV tersebut.

"Operasi membawa naik kenderaan dijalankan bermula jam 2 petang semalam (Sabtu) sebelum dibawa ke IPD Hulu Terengganu," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan terdapat papan tanda amaran dan penghadang jalan di lokasi tersebut, namun difahamkan ia telah dialihkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Pihak polis akan menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang mengalih atau mengganggu tanda keselamatan jalan," ujarnya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan sebuah SUV jenis Toyota Fortuner dinaiki seorang guru, Hassan Shazali, 52, dan Suzaimah Che Azis, 34, terjunam ke dalam gaung dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang.

Kedua-duanya mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Jenazah Hassan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh pada jam 9.10 malam, manakala jenazah Suzaimah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir, Gua Musang pada jam 9.26 malam pada Sabtu. -Sinar Harian



Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah keadaan kenderaan SUV yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring?
    A: Kenderaan SUV tersebut terbabas ke dalam gaung sedalam 61 meter tanpa kesan brek ditemui di lokasi.
  • Q: Apa yang ditemui daripada siasatan awal mengenai kemalangan SUV yang terjunam ke dalam gaung?
    A: Siasatan awal mendapati bahawa kenderaan SUV tersebut dipercayai terus menghala ke kawasan jalan terputus sebelum terjatuh, namun kelajuan kenderaan tidak tinggi berdasarkan serpihan yang ditemui pada lereng gaung.
  • Q: Apakah punca kemalangan SUV yang melibatkan sepasang bakal pengantin?
    A: Pihak berkuasa percaya punca kemalangan adalah disebabkan oleh faktor kecuaian pemandu yang tidak memberi tumpuan penuh ketika memandu.
  • Q: Mengapa operasi mengeluarkan kenderaan tersebut mengambil masa hampir empat jam?
    A: Operasi mengeluarkan kenderaan SUV tersebut mengambil masa hampir empat jam disebabkan oleh cuaca hujan yang menyukarkan proses membawa naik kenderaan.
  • Q: Apakah tindakan yang akan diambil terhadap papan tanda amaran dan penghadang jalan yang difahamkan telah dialihkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di lokasi kejadian?
    A: Pihak polis akan menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang terhadap sesiapa yang mengalih atau mengganggu tanda keselamatan jalan di lokasi tersebut.



#jatuh gaung #SUV #guru #Tiada kesan brek #Jalan Kuala Jeneris Sungai Gawi Aring