Tiada kesan minyak, pencemaran bau dikesan di Sungai Langat

Sinar Harian
Julai 17, 2022 03:00 MYT
Siasatan LUAS dan Air Selangor mendapati tiada sebarang kesan minyak atau bau 'abnormal' ditemukan di hulu Sungai Langat pada Sabtu. - Sinar Harian
SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat terdapat insiden pembuangan sisa minyak hitam di Sungai Langat iaitu kira-kira dua kilometer dari muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Batu 11 Cheras pada petang Sabtu.
LUAS dalam kenyataannya memaklumkan, siasatan ke lokasi pertama iaitu 500 meter dari muka sauk mendapati tiada sebarang kesan minyak atau bau 'abnormal' ditemukan.
Menurutnya, LUAS dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kemudiannya meneruskan siasatan sehingga ke hulu Sungai Langat.
"Hasil siasatan juga mendapati tiada bau abnormal dikesan di muka sauk berkenaan dan insiden berkenaan tidak memberi kesan signifikan kepada operasi LRA," katanya dalam kenyataan di Facebook LUAS pada Ahad.
Justeru kenyataan itu memberitahu, LUAS meneruskan pemantauan 24 jam tanpa henti bagi memastikan kelangsungan sumber air di negeri ini sentiasa terjamin dan terpulihara.
Kata kenyataan itu, LUAS meminta semua pihak termasuk masyarakat mengambil pendekatan penglibatan bersama memulihara persekitaran sumber air.
"Kelalaian atau perbuatan negatif dengan menjadikan sungai dan persekitarannya sebagai tempat pembuangan atau pelupusan boleh mengundang ancaman kepada kelancaran fungsi loji-loji rawatan air di negeri ini dan seterusnya gangguan bekalan air terawat," ujar kenyataan terbabit. - Sinar Harian
#sungai langat #pencemaran #LRA Batu 11 Cheras #LUAS