KUALA LUMPUR: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata walaupun terdapat perbincangan dan rundingan, tetapi tidak ada komitmen daripada Kesatuan Eropah (EU) mengenai kebimbangan utama yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan majlis itu.

MPOC berkata ini khususnya mengenai subjek mentakrifkan kriteria dan mekanisme sistem penanda aras negara, serta butiran tentang bagaimana sokongan teknikal dan kewangan akan diberikan kepada petani kecil di negara pengeluar, yang merupakan komuniti paling terjejas oleh Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Majlis itu berkata demikian selepas menyertai sesi libat urus secara maya mengenai EUDR yang dihoskan oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

"Pegawai-pegawai dari DG Environment EU dan Kedutaan EU di Jakarta menyertai taklimat itu, bersama kumpulan-kumpulan perniagaan dan pihak berkepentingan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Sron berkata EUDR akan meningkatkan kos dan mewujudkan halangan perdagangan untuk pengeksport Malaysia, dan permintaan unilateral EU terhadap petani kecil akan membawa kesan sosial dan ekonomi yang meluas kepada komuniti tersebut.

"Kami menggesa EU untuk menyegerakan maklumat kritikal mengenai bidang kebimbangan utama yang kini kurang diperoleh untuk membolehkan negara pengeluar memahami secara menyeluruh implikasi dan keperluan penuh sosial, ekonomi, alam sekitar dan tadbir urus EUDR," katanya.

Belvinder berkata MPOC akan terus mendapatkan penglibatan dalam EUDR, dan akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menentang diskriminasi sedemikian terhadap minyak sawit.

Beliau berkata majlis itu juga akan terus menyokong kedudukan Kementerian Perladangan dan Komoditi, termasuklah EU mesti memberikan pengesahan bertulis bahawa Malaysia tidak akan dilabelkan sebagai 'berisiko tinggi'.

"Ini adalah berkaitan dengan kepentingan petani kecil dan syarikat kita.

"Rekod prestasi Malaysia mengenai perlindungan hutan dan pengeluaran mampan adalah jelas. Minyak sawit Malaysia adalah salah satu minyak sayuran yang paling disahkan di dunia hari ini. Standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sudah pun menjamin komitmen Malaysia terhadap piawaian kemampanan yang komprehensif," tambahnya.

-- BERNAMA