PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan pendekatan baru terhadap keselamatan jalan raya dengan menghentikan kempen bermusim seperti pelepasan konvoi semasa perayaan seperti yang diamalkan sebelum ini.

Katanya, ia adalah penting bagi menggalakkan rakyat mengamalkan budaya keselamatan sepanjang masa dan bukannya bermusim.

"Kita perlu ubah cara adakan kempen keselamatan. Tak perlu lagi beri gambaran kepada orang ramai bahawa keselamatan (jalan raya) hanya penting semasa Tahun Baru Cina, Hari Raya atau Deepavali.

“Ini adalah usaha secara berterusan, setiap hari ada kempen. Kita hentikan kempen bermusim," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 anjuran Kementerian Pengangkutan di sini hari ini. 

Menurut Loke, peruntukan untuk acara pelepasan konvoi akan dialihkan kepada pendekatan yang lebih berkesan dalam meningkatkan kesedaran dan penguatkuasaan.

“Kita tak hendak beri satu gambaran kepada orang ramai, isu keselamatan ikut bermusim.

"Dulu, setiap musim perayaan ada kempen lepaskan konvoi, kibarkan bendera, bagi goodies bag dan sebagainya.

"Operasi bersepadu musim perayaan tetap berjalan, tetapi kita gunakan peruntukan itu dengan cara yang lebih efisyen.

“Penguat kuasa terus jalan, menteri tak lepaskan konvoi. Kenderaan kena jalan juga, tak perlu tunggu ada pelancaran, penguatkuasaan berterusan seperti biasa,” tambahnya.

Keputusan ini menurutnya mencerminkan komitmen untuk mencapai keselamatan jalan raya melalui tindakan berterusan, bukan hanya semasa perayaan.