Setelah berjuang dengan sepenuh kudratnya melawan kesakitan di usia mentah, Mohd Faiz Mohd Abd Shukor, 2 tahun, akhirnya pergi buat selamanya pada petang Jumaat.

Mohd Faiz, kanak-kanak yang menanggung derita berikutan kanser mata tahap kronik telah menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarganya di sini.

Lebih memilukan, kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibu bapa dan disaksikan seisi keluarganya sekitar pukul 4.08 petang setelah lelah bertarung dengan barah yang merosakkan penglihatannya itu.

Sebelum ini, Astro AWANI pernah melaporkan mengenai keadaan Mohd Faiz yang hilang nikmat melihat dunia setelah sel kanser semakin merebak ke mata kanannya menyebabkannya buta kedua-dua mata.

Ketika dihubungi, ibu kepada anak syurga itu, Nor Salwati Abu Bakar berkata beliau redha dengan pemergian satu-satunya anak lelakinya tersebut.

“Perginya sayang Mama menghadap Illahi... Mama redha dan ikhlas melepaskanmu sayang, Mama dah cuba tapi Allah lebih sayangkanmu, nak.

“Tiada lagi gurau dan senyum darimu sayang, untuk Mama hanya kenangan, tiada lagi tangan yang membelai lembut pipi Mama ini.

“Selepas ini, tiada lagi kesakitan yang Faiz tanggung, tenanglan sayang di syurga dan bermainlah di taman indah di sana,” luah ibunya dalam Facebook pada awal pagi Sabtu.

Jenazah Mohd Faiz telah selamat dikebumikan pada malam Jumaat dan ratusan netizen memberikan kata sokongan buat anak kecil berkenaan di Facebook.

Berikut adalah video daripada laporan Astro AWANI sebelum ini: