MALAYSIA

Tiada laporan diterima berhubung dakwaan buli di Kulim

Bernama 02/02/2026 | 09:45 MYT
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata polis telah mengenal pasti kanak-kanak dipercayai terlibat termasuk ibu bapa mereka. - Gambar fail/FB Polis Kedah
ALOR SETAR: Polis tidak menerima laporan berhubung dakwaan seorang murid sekolah di Kulim menjadi mangsa buli tahun lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah bagaimanapun berkata polis telah mengenal pasti kanak-kanak dipercayai terlibat termasuk ibu bapa mereka.

"Polis sudah mengenal pasti dan memanggil dua suspek (kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ketika kejadian) dan mangsa yang kini berusia 12 tahun.

"Siasatan telah dijalankan dan tindakan turut diambil bagi memastikan kejadian buli tidak berulang," katanya di sini hari ini.

Adzli berkata siasatan mendapati tiada kesan kecederaan fizikal terhadap mangsa namun pihaknya tetap menyokong proses pemulihan dan kaunseling kerana dikesan mengalami trauma.

Selain itu, beliau berkata polis telah hadir ke sekolah memberi taklimat keselamatan dan pendedahan kepada murid bagi mencegah buli pada masa hadapan.

Terdahulu, satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial memaparkan Adzli turut serta dalam program turun padang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melawat sebuah rumah di Labu Besar, Kulim.

Dalam kunjungan itu, Saifuddin Nasution dilihat menyantuni seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun yang pada mulanya berdiam diri sebelum menceritakan takut ke sekolah kerana bimbang dibuli.

-- BERNAMA








#dakwaan buli #murid sekolah #Kulim #Ketua Polis Kedah #mangsa buli #Adzli Abu Shah