TAWAU: Semua fasiliti kesihatan swasta, kerajaan dan hospital di Tawau setakat ini tidak melaporkan sebarang kes mengenai keracunan sodium cyanide, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Asits Sanna.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita baru-baru ini, mengenai dakwaan terdapat penduduk mengalami sakit dan muntah akibat terhidu sisa toksik sebuah lombong haram di Bukit Mantri, Balung di sini.

Dr Asits berkata Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau telah menjalankan siasatan dan mendapati kejadian seumpama itu tidak berlaku, manakala pemeriksaan di kawasan kampung sekitar turut mendapati tiada individu mengalami gejala keracunan.

"Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPASS) mengesahkan sememangnya perlombongan emas di lokasi tersebut. Berdasarkan laporan Penilaian Impan Alam Sekitar (EIA), penggunaan sianida untuk mengekstrak emas adalah secara tertutup dan pelupusannya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"PKK Tawau juga telah menjalankan pemantauan bersama JPASS dan mendapati tiada implikasi negatif terhadap kesihatan penduduk Kampung Balung Cocos dan Tawau secara umumnya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pencemaran sianida boleh menyebabkan pencemaran udara dan air, manakala kesan keracunan itu termasuk gejala seperti kekeliruan, perubahan tingkah laku, mengantuk berlebihan, sesak nafas, sakit kepala, pening, muntah, sakit perut dan pengsan.

Dalam pada itu, Dr Asits menasihati penduduk yang mengalami gejala berkenaan agar segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berdekatan.

Beliau berkata pihaknya bersama agensi terlibat akan terus memantau situasi kesihatan penduduk kampung dan Tawau, dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA