Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) tidak ada menerima laporan mengenai kegiatan penternakan babi secara haram di Negeri Sembilan terutama di kawasan Bukit Pelanduk, Port Dickson, setakat ini.

Bagaimanapun, Pengarah JPVNS Dr Azman Shah Abd Manaf berkata pihaknya ada menerima laporan mengenai penyembelihan babi secara haram di Bukit Pelanduk dan ia telah diambil tindakan oleh penguatkuasa JPVNS.

"Kita ada menerima laporan mengenai penyembelihan babi secara haram di Bukit Pelandok tetapi tidak banyak. Kita telah pun mengambil tindakan mengenai perkara itu.

Mengikut peraturan penyembelihan babi perlu dilakukan di rumah penyembelihan haiwan berkenaan tetapi di Negeri Sembilan kita tidak ada rumah penyembelihan babi," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan semalam bahawa pemimpin tempatan mesti bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya terdapat kes kematian akibat virus Ensefalitis Jepun (JE) di negeri itu.

Ini kerana terdapat pemimpin tempatan yang cuba menghasut penduduk agar terus melakukan aktiviti penternakan babi di sekitar Bukit Pelanduk, mahu pun daerah lain di negeri ini secara haram.

Katanya anggota penguatkuasa JPVNS dan polis sentiasa memantau kawasan Bukit Pelanduk dan kawasan lain di negeri ini bagi membendung kegiatan penternakan babi secara haram.

"Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati menjalankan penternakan babi secara haram di negeri ini. Jika dibiarkan kita bimbang ia boleh mengakibatkan penularan wabak Japanese Encephalitis (JE) berulang seperti yang berlaku di Bukit Pelanduk pada tahun 1998," katanya.

Dr Azman Shah berkata orang ramai yang mengetahui kegiatan penternakan babi secara haram di negeri ini supaya melaporkan kepada pejabat JPVNS dan balai polis berhampiran.

Ratusan penduduk di Bukit Pelanduk dilaporkan terkorban dalam wabak yang berlaku pada 1998 dan berikutan itu, kerajaan negeri melarang penternakan babi di situ.

Bagaimanapun, kerajaan negeri bersetuju membenarkan pengusaha ladang ternakan babi di Air Kuning, Gemencheh meneruskan operasi tetapi dengan bersyarat di mana pengusaha ladang ternakan terbabit perlu sentiasa memastikan air kumbahan tidak menjadi punca pencemaran air dan bau di kawasan sekitar.

Pengusaha ladang juga hanya dibenarkan menternak dalam kuantiti kurang daripada 1,000 ekor.