KUALA LUMPUR: Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan menafikan media dilarang membuat liputan pendakwaan Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya di Mahkamah Majistret Putrajaya, pada Selasa.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, kenyataan itu menyebut tiada sebarang larangan dikeluarkan kepada pengamal media, namun mengakui orang awam diarahkan keluar bagi menjaga penjarakan sosial.

"Pada hari berkenaan, selain daripada kes orang kena saman (OKS) (Nurul Hidayah), terdapat kes-kes lain yang telah ditetapkan dan dihadiri oleh pegawai pendakwaan, polis serta orang awam menyebabkan Mahkamah Terbuka sesak dan tiada penjarakan sosial.

“Mahkamah telah mengarahkan agar orang awam yang berada di dalam Mahkamah Terbuka untuk keluar bagi  memastikan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi.

“Mahkamah juga tidak sedar akan kehadiran pihak media  yang  membuat liputan pada hari tersebut," kata kenyataan itu lagi.

BACA: Anak Zahid Hamidi, Nurul Hidayah didenda RM800 langgar PKP

Kenyataan itu turut menyebut, badan kehakiman sentiasa memastikan akses kepada keadilan diberi kepada semua pihak termasuk media.

Pada Selasa, Nurul Hidayah yang juga anak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kedua-dua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melakukan pergerakan tanpa kebenaran.

BACA: Ingkar PKP: Hukuman berbeza bukan kerana darjat - Ismail Sabri