Perkara itu dimaklumkan dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, pada Khamis.
Beliau berkata, Anwar menegaskan prinsip keadilan dan hormat pada simbol negara harus ditegakkan tanpa pengecualian.
Astro AWANI hari ini melaporkan, KPM memohon maaf atas kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Laporan analisis tersebut telah dikongsikan kepada petugas media selepas pengumuman mengenai keputusan SPM 2024 dibuat oleh Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan.
KPM juga meminta agar laporan analisis tersebut dikembalikan semula dan pembetulan segera akan dilakukan.
Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu disertai dengan rasa tanggungjawab yang tinggi.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik inovasi teknologi termasuk AI dalam pelbagai sektor namun menegaskan ia tidak boleh menggantikan kemahiran dan peranan manusia.
"AI tidak boleh menggantikan tanggungjawab editorial dan kawalan kualiti oleh manusia. Setiap bahan yang melibatkan simbol negara atau sensitiviti rakyat perlu melalui semakan dengan teliti dengan semangat hormat dan tanggungjawab bersama.
"AI ialah alat yang hebat tetapi jika digunakan secara cuai, ia boleh mengundang implikasi yang besar terhadap keharmonian dan perpaduan negara," katanya.
