SIBU: Tiada makmal tempatan wujud bagi memproses dadah di Sarawak pada masa ini manakala bekalan dadah yang dirampas setakat ini dibawa masuk dari luar, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri Datuk Ibrahim Darus.

"Walaupun ada bibit-bibit untuk mewujudkan makmal memproses dadah, namun polis telah berjaya membanterasnya secara habis-habisan," katanya tanpa memperincikan kejayaan itu.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan seorang daripada ketua kaum pada Program Kepolisan Komuniti Bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak di sini hari ini.

Menurut Ibrahim bekalan dadah dari luar dikesan dibawa masuk melalui pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang beroperasi 24 jam di pintu masuk Sarawak.

"Namun sindiket mengubah modus operandi setiap kali ditangkap. Jika hari ini ditangkap guna beg, sindiket lain akan buat cara lain.

"Polis dan kastam sentiasa berusaha mengkaji dan menyiasat untuk mengenal pasti modus operandi sebarang cubaan menyeludup yang akan datang," katanya.

Beliau berkata pada Januari lepas, pihaknya berjaya merampas dadah bernilai lebih RM7 juta yang hendak dibawa masuk ke Sarawak.

Sehubungan itu, Ibrahim meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membolehkan tindakan segera dilakukan untuk membanteras masalah dadah.

-- BERNAMA