NATIONAL

Tiada pembalakan di Janda Baik - Wan Junaidi

Bernama 13/10/2016 | 15:38 MYT
WAN JUNAIDI: Kami dimaklumkan ada projek sedang dibuat TNB. Ini bukan pasal pencerobohan pembalakan. Kayu balak masih ada lagi di dalam hutan itu. -Gambar fail
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menafikan dakwaan terdapat kegiatan pembalakan tanpa kawalan di Hutan Simpan Kekal Janda Baik di Bentong, Pahang seperti dilaporkan.

Beliau menjelaskan kerja-kerja teknikal sedang dijalankan Tenaga Nasional Berhad di kawasan itu dan bukannya pembalakan.

"Kami dimaklumkan ada projek sedang dibuat TNB. Ini bukan pasal pencerobohan pembalakan. Kayu balak masih ada lagi di dalam hutan itu," katanya kepada pemberita selepas membuka Makmal Ujian Alat Pengesanan Utiliti Bawah Tanah dan Pusat Khidmat Pelanggan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, dan melancarkan Buku Atlas Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.

Dilaporkan kononnya pembalakan tanpa kawalan dilakukan di Hutan Simpan Kekal Janda Baik sejak lebih 20 tahun lepas.

Kegiatan itu didakwa membawa kesan kepada hampir 2,000 penduduk Kampung Janda Baik dengan lima anak sungai utama telah tercemar, antaranya Ulu Sungai Benus, Sungai Kuala Lurau dan Sungai Tampik.

Wan Junaidi juga berkata kementeriannya masih menanti keputusan analisis sampel air daripada Jabatan Kimia untuk mencari punca pencemaran air yang mengakibatkan penutupan loji rawatan air (LRA) Semenyih dan gangguan air di Selangor.

Katanya adalah terlalu awal untuk mengenal pasti sama ada pencemaran daripada sektor perindustrian atau bau busuk dari loji punca pencemaran hingga LRA terpaksa ditutup.

LRA Semenyih ditutup beberapa kali sebelum ini berikutan pencemaran bau sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan termasuk Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Menurut laporan, pencemaran itu mungkin berpunca daripada Sungai Lalang di kawasan Perindustrian Teknologi Tinggi Semenyih. -Bernama

#Hutan Simpan Kekal Janda Baik #pembalakan tanpa kawalan #Wan Junaidi Tuanku Jaafar