Kerisauan dominasi satu kaum di satu sekolah disifatkan kebimbangan berpanjangan yang tidak akan 'terubat' dalam masa terdekat.

Penganalisis, Professor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, ia memerlukan satu tempoh yang sangat lama sebelum diatasi selain turut dilihat mustahil untuk direalisasikan.

"Masalah ini tidak boleh diatasi sehari dua, perlu masa lama dan perlu mula dari sekolah rendah, tapi ini tidak berlaku.

"Kita selalu gunakan perkataan manis, kita kata tidak mahu tetapi apabila menghadapi hakikat sebenar, banyak yang perlu dilakukan dan ia memerlukan lebih 50 tahun lagi untuk dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Kay Kim mengulas rencana 'Perpaduan dalam Kemerdekaan' Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anis Yusal Yusoff.

Rencana itu membangkitkan persoalan kemungkinan kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan dilihat sudah terlalu mirip sekolah agama yang boleh menakutkan penganut agama-agama lain.

Jelas Kay Kim, ahli politik diminta memainkan lebih peranan dalam penyatupaduan antara kaum.

"Jangan bila Pilihan Raya Umum (PRU) sahaja, mesti ada ahli politik yang akan menghasut rakyat dalam isu perkauman. Kita perlu sedar hanya Malaysia yang mempunyai parti politik mengikut kaum di negara ini.

"Kita tidak boleh buat apa-apa, ahli politik mesti berhati-hati dan tidak menghasut rakyat untuk mengutamakan kepentingan satu kaum sahaja," katanya.

Ketika diajukan soalan apakah perpaduan dapat diterap pada awal usia seandainya hanya sekolah kebangsaan ada di negara kita, ini jawabnya;

"Tidak boleh tutup sekolah Cina dan India, ada pihak tertentu yang mahu sekolah ini.

"Di negara lain tidak ada sekolah tertentu seperti di Malaysia, di Singapura tidak ada sekolah Cina, di India tidak ada sekolah Tamil."

Sementara itu, penganalisis, Datuk Dr. Zainal Kling menjelaskan, isu itu dilihat hanya masalah persepsi yang boleh diselesaikan.

"Masalah pendidikan yang ditimbulkan ini hanya persepsi sahaja, namun ia hanya di peringkat sekolah rendah.

"Apabila memasuki sekolah menengah semua akan memasuki Sekolah Kebangsaan dan perpaduan antara kaum akan menjadi makin utuh," ujarnya.

Tambahnya, ada ibu bapa berbangsa Cina dan India menganggap Sekolah Rendah Kebangsaan melebihkan pengajaran pendidikan Islam dan itu sebabnya mereka menghantar ke sekolah vernakular.