[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Tiada pengecualian cukai jualan ke atas barangan diimport melalui portal luar negara - Amir Hamzah

Bernama 25/11/2025 | 04:55 MYT
Amir berkata kerajaan telah melaksanakan Cukai Barang Bernilai Rendah (LVG) mulai 1 Jan 2024 pada kadar 10 peratus. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tiada pengecualian cukai jualan diberikan ke atas barangan yang diimport melalui portal luar negara, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.


Ringkasan AI
  • Barangan yang diimport melalui portal luar negara tidak dikecualikan daripada cukai jualan, selaras dengan senarai dalam Perintah Cukai Jualan 2025, tanpa mengira asal barangan.
  • Bermula 1 Januari 2024, kerajaan mengenakan LVG sebanyak 10% ke atas barangan import bernilai rendah bagi memastikan persaingan adil antara peniaga tempatan dan luar negara.
  • Kutipan hasil daripada SToDS terus meningkat, dengan penyedia digital asing seperti Netflix dan Google diwajibkan mendaftar serta memungut cukai perkhidmatan, bagi mewujudkan ekosistem digital yang adil.


Beliau berkata pengecualian cukai jualan terpakai ke atas barangan yang disenaraikan di bawah Perintah Cukai Jualan (Barang Yang Dikecualikan Daripada Cukai Jualan) 2025 tanpa mengambil kira sama ada barangan tersebut diimport atau dibeli daripada pengeluar tempatan.

Bagi memastikan persaingan yang lebih seimbang antara peniaga tempatan dan luar negara di platform dalam talian, katanya kerajaan telah melaksanakan Cukai Barang Bernilai Rendah (LVG) mulai 1 Jan 2024 pada kadar 10 peratus.

"Pelaksanaan ini menutup jurang cukai sedia ada apabila barangan di bawah nilai tertentu yang diimport sebelum ini tidak dikenakan Cukai Jualan sedangkan barangan tempatan tertakluk kepada cukai tersebut.

"LVG memastikan semua barangan sama ada tempatan atau diimport dikenakan layanan cukai yang setara, sekali gus mewujudkan level playing field kepada peniaga tempatan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai mekanisme pengutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) atau cukai lain daripada transaksi dalam talian yang melibatkan penjual atau portal luar negara.

Amir Hamzah berkata layanan level playing field itu juga memberi jaminan kepada peniaga tempatan bersaing secara adil berdasarkan kualiti, nilai dan perkhidmatan yang ditawarkan dan bukannya bersandarkan kepada aspek harga semata-mata.

"Melalui pendekatan ini, kerajaan memastikan bahawa penjual tempatan tidak dibebani secara tidak adil, malah diberikan sokongan dari sudut kos pengeluaran selain memastikan barangan import tertakluk kepada mekanisme cukai yang setara dan adil," katanya.

Sementara itu, katanya jumlah kutipan hasil daripada transaksi digital melalui Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital Luar Negara (SToDS) terus meningkat setiap tahun yang mencatatkan RM802 juta pada 2021, RM999 juta (2022), RM1.15 bilion (2023) dan RM2.01 bilion termasuk LVG sebanyak 476 juta (2024).

Amir Hamzah berkata SToDS kini dikenakan ke atas semua penyedia perkhidmatan asing, tanpa mengira negara penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria dalam menyediakan perkhidmatan digital kepada pengguna di Malaysia.

"Melalui mekanisme ini, penyedia perkhidmatan digital luar negara seperti Netflix, Apple, Microsoft, Google dan lain-lain diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta memungut dan menyerahkan cukai perkhidmatan apabila perkhidmatan mereka digunakan oleh pelanggan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata langkah ini memastikan penyedia perkhidmatan luar negara memikul tanggungjawab cukai yang setara dengan penyedia tempatan serta mewujudkan persekitaran pasaran yang adil dalam ekosistem digital.

-- BERNAMA






#pengecualian cukai #barangan import #portal luar negara #Amir Hamzah Azizan