MALAYSIA
Tiada penutupan jalan, PdPR sewaktu Mesyuarat Menteri Luar ASEAN Julai ini - Fahmi
Kerajaan tidak akan melaksanakan penutupan jalan, atau pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di sekitar ibu kota, sempena penganjuran Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan antara 8 hingga 11 Julai ini. -Gambar fail/Reuters
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan melaksanakan penutupan jalan di sekitar ibu kota, atau pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sempena penganjuran Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan di antara 8 dan 11 Julai ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan tidak akan menutup jalan atau melaksanakan PdPR sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-58 pada 811 Julai ini.
- Penutupan jalan dan PdPR hanya dijangka berlaku semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober nanti.
- Sebelum ini, beberapa jalan utama ditutup semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bagi memastikan kelancaran trafik untuk delegasi dan pemimpin.
Menteri Komunikasi, yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu disah dan dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada beliau sendiri.
Namun, beliau berkata, penutupan jalan dan PdPR hampir pasti akan dilaksanakan sewaktu penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung pada Oktober depan.
"(Penutupan jalan) bukan untuk kali ini (Mesyuarat Menteri Luar ASEAN pada Julai), tetapi untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
"Insya-Allah pada 7 Oktober ini, maklumat lanjut akan diberikan lebih dekat pada tarikh tersebut," katanya pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di Putrajaya, pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama sekitar Lembah Klang ditutup secara berperingkat sewaktu penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN+GCC, dan ASEAN+GCC+China pada Mei lepas, bagi memastikan kelancaran trafik.
Antara jalan ditutup termasuk laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCCC), Istana Negara, serta laluan ke tempat penginapan pemimpin dan delegasi yang terlibat.