[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Tiada penyakit berjangkit di kesan di PPS di Sabah

Bernama 18/09/2025 | 13:00 MYT
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika meninjau Pusat Penempatan Sementara (PPS) Keramat Putatan, hari ini. - Foto BERNAMA
PUTATAN: Tiada kes penyakit berjangkit dikesan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sepanjang tempoh mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan bencana banjir dan tanah runtuh di negeri berkenaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata hanya penyakit biasa dan tiada penyakit berjangkit yang dilaporkan, namun ia dapat ditangani dengan segera oleh petugas kesihatan yang turut berada di PPS terlibat.

"Walaupun belum ada wabak penyakit berjangkit dilaporkan, namun pihak JKNS sentiasa memantau dan melaksanakan segala bentuk pencegahan kepada mangsa yang masih berada di PPS," katanya selepas melawat dan memberikan sumbangan kepada mangsa di PPS Taman Sri Keramat di sini hari ini.

Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 3,325 orang daripada 964 keluarga petang ini, berbanding 3,134 orang daripada 916 keluarga pagi tadi di 28 PPS melibatkan enam daerah.

Sementara itu, Dzulkefly berkata beliau juga telah melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa tanah runtuh yang juga seorang daripada kakitangan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata mangsa iaitu Emilly adalah kakitangan kementerian itu, manakala bapanya Johnny juga pesara Kementerian Kesihatan yang bersara baru-baru ini.

Menurut Dzulkefly, beliau juga akan mengadakan lawatan ke beberapa lokasi untuk meninjau keadaan fasiliti di klinik serta hospital yang terjejas banjir agar dapat diatasi dengan segera.

Pada Isnin lepas, Emilly, 38, bersama anak lelakinya Xarell Myre Aristothle, 11, ditemukan maut apabila kediaman mereka dihempap tanah runtuh dalam kejadian di Kampung Mook, Kinarut.

-- BERNAMA


#penyakit berjangkit #PPS di Sabah #Pusat Pemindahan Sementara #Dzulkefly Ahmad