Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa tiga peti undi hilang di kawasan Parlimen Putrajaya sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tempoh hari.

SPR memberitahu proses pengiraan semula undi hanya boleh dilakukan di pusat mengundi dan bukan di pusat penjumlahan undi seperti yang telah dicanangkan oleh pihak tertentu.

"Pusat penjumlahan undi hanya mengumpulkan undi yang diterima daripada saluran kawasan parlimen berkenaan.

"Ketua Tempat Mengundi (KTM) merupakan individu yang bertanggungjawab membawa Borang 14 ke pusat penjumlahan undi untuk diserahkan kepada pegawai pengurus di sesebuah kawasan parlimen.

"Tuduhan tiga peti undi hilang di pusat penjumlahan undi dan SPR bersetuju untuk membuat pengiraan semula merupakan dakwaan yang tidak benar. Jika ada berlaku kesilapan ianya perlu diselesaikan di tempat mengundi," kata Abdul Aziz.

Pada malam pengiraan undi 5 Mei lalu, beberapa pengguna laman sosial mendakwa tiga peti undi hilang di Putrajaya dan pengiraan semula sedang dilakukan.

Kebanyakan pengguna laman sosial yang mengetahui khabar angin itu berang dan mula mempersoalkan ketelusan SPR dalam menjalankan proses pilihan raya.

Abdul Aziz menegaskan jika perbezaan undi yang diperoleh oleh pihak yang menang dan kalah kurang daripada empat peratus, ada tuntutan daripada ejen calon dan mendapat persetujuan KTM, maka pengiraan semula akan dibuat di situ juga.

Pengerusi SPR itu berkata tidak mungkin peti undi hilang di Putrajaya kerana sistem pengangkutan di sana berada dalam keadaan baik.

"Seandainya peti undi hilang, perkara terpenting ialah Borang 14 iaitu peti undi tidak boleh dikeluarkan daripada tempat mengundi dan mesti dikira di hadapan ejen calon.

"Jumlah undi akan dicatat di Borang 14 dan apabila jumlah yang diterima tepat di tempat mengundi maka barulah borang tersebut ditandatangani oleh ejen calon.

"Ini bermakna perkara terpenting ialah Borang 14 yang dibawa oleh KTM ke pusat penjumlahan undi.

"Peti undi pada waktu itu seakan sudah tidak relevan kerana undi telah dikira dan peti berkenaan hanya simbolik di pusat penjumlahan undi," jelas Abdul Aziz.

Abdul Aziz menambah pegawai pengurus tidak boleh mengumumkan keputusan keseluruhan jika ada saluran pengundian yang masih belum tiba.

Berhubung isu pengundi hantu, Abdul Aziz memberitahu "Tiada pegawai saya yang melaporkan ada tangkapan berhubung pengundi yang cuba mengundi menggunakan Mykad orang lain. Ini bermakna pengundi hantu adalah satu istilah yang ditimbulkan apabila berlaku pilihan raya".

Astro Awani pada 5 Mei lalu melaporkan seorang pengundi Patimah Sirat, 66, tidak dibenarkan mengundi setelah beliau dimaklumkan ada pihak yang telah datang mengundi bagi pihak dirinya.

SPR telah dimaklumkan berhubung hal berkenan dan Patimah juga telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Sentul.

Tan Sri Abdul Aziz diwawancara dalam satu temubual bersama radio Nasional FM bagi menangkis tuduhan yang dilemparkan pihak tertentu sewaktu PRU-13 yang lalu.