Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden rempuhan van di Las Ramblas, Barcelona pada Khamis petang yang sehingga kini mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan mencederakan 100 orang.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Malaysia berdiri teguh bersama-sama masyarakat antarabangsa dalam mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan yang dianggap kejam itu.

Wisma Putra turut melahirkan rasa simpati kepada seluruh anggota keluarga mangsa-mangsa yang terlibat dalam serangan itu.

Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia yang berada di bandar raya itu dan memerlukan bantuan konsular diminta berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di alamat Kedutaan Besar Malaysia, Madrid, Avenida de Madronos, No. 63-Bis 28043, Madrid, Sepanyol atau menghubungi +(34) 91 555 0684/91 555 0737 atau menerusi e-mel ke [email protected].

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa sambil menyifatkan serangan itu sebagai keji.

Laporan media menyebut insiden itu berlaku selepas sebuah van merempuh orang ramai di tengah-tengah bandar raya Barcelona dan sejurus berlaku, kumpulan penyerang itu lari meninggalkan van berkenaan.

Berikutan itu, pihak berkuasa keselamatan Sepanyol telah melancar operasi khas memburu mereka yang terlibat sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai serangan pengganas.

Reuters yang memetik seorang jurucakap polis wanita Catalan melaporkan polis menembak mati empat penyerang di Cambrils, selatan Barcelona, dan seorang lagi cedera parah ekoran operasi dijalankan oleh pihak berkuasa berkenaan.

Serangan di Barcelona itu adalah yang paling buruk berlaku di Sepanyol sejak letupan bom di Madrid pada 2004 yang mengorbankan 191 orang.

-- BERNAMA