Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam serangan berhampiran Masjidil Haram

Astro Awani
Jun 24, 2017 05:31 MYT
Pasukan keselamatan Arab Saudi berjaya mematahkan satu rancangan serangan bunuh diri yang menyasarkan Masjidil Haram di Mekah pada Jumaat. - Foto KDN Arab Saudi
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam insiden serangan nekad berhampiran Masjidil Haram, Mekah pada Jumaat.
Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
"Wakil Tabung Haji sudah meninjau lokasi kejadian dan mendapat laporan awal pihak berkuasa serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan tahap keselamatan rakyat Malaysia terjamin.
"Pihak berkuasa Arab turut meningkatkan kawalan keselamatan khususnya di kawasan tumpuan orang ramai. "Jangan buat andaian bukan-bukan berhubung kejadian itu," katanya kepada BH Online hari ini.
Orang ramai khususnya keluarga jemaah juga diharap tidak bimbang kerana keadaan terkawal dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Insiden yang berlaku ketika ribuan jemaah berkumpul menunaikan solat Jumaat terakhir Ramadan tahun ini, menyaksikan 11 orang cedera termasuk enam jemaah warga asing.
#Jamil Khir Baharom #Masjidil Haram #Ramadan #serangan #Tabung Haji #warga asing