MALAYSIA
Tiada rakyat Malaysia terjejas atau terlibat protes di Nepal

Protes berlangsung di Kathmandu, Pokhara, Butwal, Biratnagar dan bandar lain bagi membantah dakwaan rasuah serta larangan media sosial. - Reuters
KUALA LUMPUR : Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia yang terjejas atau terbabit dalam tunjuk perasaan besar-besaran di ibu negara Nepal.
Kementerian Luar memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia juga terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan rakyat Malaysia selamat.
"Kita juga memantau rapat situasi ini dan rakyat Malaysia yang menetap atau berada di kawasan terjejas dinasihatkan supaya berwaspada, mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan.
"Mereka juga diminta mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran rasmi sahaja," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.Kementerian Luar berkata, mereka yang belum mendaftar dengan pihak kedutaan digesa mendaftar melalui sistem E-Konsular di pautan https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan bantuan dan komunikasi.
Sebarang bantuan konsular boleh dihubungi melalui:
Kedutaan Malaysia di Kathmandu
Alamat: Bakhundole-3, Lalitpur, Nepal
Telefon: +977-1-5445680
E-mel: [email protected]
Protes berlangsung di Kathmandu, Pokhara, Butwal, Biratnagar dan bandar lain bagi membantah dakwaan rasuah serta larangan media sosial.
Minggu lalu, Nepal bertindak menyekat beberapa platform media sosial utama selepas ia gagal mendaftar dengan pihak berkuasa negara itu.
Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat menguatkuasakan larangan tersebut selepas memberi syarikat berkenaan tempoh tujuh hari bermula 28 Ogos untuk mendaftar dengan kerajaan.
Platform yang disekat termasuk Facebook, Instagram dan WhatsApp milik syarikat AS, Meta, bersama YouTube, syarikat media sosial AS X, Reddit dan LinkedIn.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami