MALAYSIA

Tiada rekod pengesahan perubatan punca kelewatan gantian kad OKU - JKM

Bernama 16/10/2025 | 12:30 MYT
JKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil semakan mendapati tiada maklumat pengesahan pegawai perubatan direkodkan dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) bagi anak klien berkenaan.
PUTRAJAYA: Isu kesukaran bagi mendapatkan gantian kad orang kurang upaya (OKU) milik anak kepada Nur Zarina Mohd Zainuddin yang hilang seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan semalam berpunca daripada ketiadaan rekod pengesahan perubatan dalam sistem Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

JKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil semakan mendapati tiada maklumat pengesahan pegawai perubatan direkodkan dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) bagi anak klien berkenaan.

"Petugas telah memberikan penerangan lanjut, menyerahkan Borang Permohonan Pendaftaran OKU (BPPOKU) (Pindaan 2019) untuk diisi dan menandakan bahagian berkaitan bagi memudahkan rujukan klien.

"Klien turut disarankan untuk membuat laporan polis sebagai langkah pencegahan terhadap sebarang kemungkinan penyalahgunaan kad," menurut kenyataan itu.

Menurut JKM, selain kad yang didakwa hilang, klien turut menyerahkan satu lagi kad OKU milik anak kembarnya bagi tujuan penggantian kad rosak.

"Hasil semakan menunjukkan situasi yang sama dan klien telah dimaklumkan penggantian kad baharu atau kad dilengkapi kod respons pantas (QR) hanya boleh dilaksanakan setelah laporan perubatan atau makluman pengesahan terkini dikemukakan," menurut JKM.

JKM menambah, sistem SMOKU yang diperkenalkan pada 2011 telah melalui beberapa fasa naik taraf termasuk penambahan subkategori OKU serta pengenalan kad OKU baharu berteknologi QR.

"Oleh itu, klien disarankan untuk melakukan pengesahan semula oleh pegawai perubatan bagi membolehkan pengemaskinian data dibuat dalam sistem serta membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan dan perlindungan data peribadi," menurut kenyataan itu.

Jabatan itu memaklumkan selepas tindakan susulan dan khidmat nasihat diberikan, klien telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada JKM semalam.

Menurut JKM, kad OKU anak klien berkenaan kemudiannya telah diproses dan dikeluarkan semula oleh jabatan itu hari ini.

"JKM menyarankan agar klien sentiasa mengemas kini maklumat peribadi dan laporan perubatan bagi memastikan data dalam sistem SMOKU kekal tepat dan terkini," menurut kenyataan itu.

Media melaporkan seorang selebriti berusia 54 tahun yang mempunyai sepasang anak lelaki kembar menghidap autisme mendakwa mengalami kesukaran ketika berurusan dengan JKM bagi menggantikan kad OKU anaknya yang hilang.

-- BERNAMA


#gantian kad OKU #rekod pengesahan #Nur Zarina Mohd Zainuddin #Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM