KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Menteri Sabah itu berkata, bagaimanapun kabinet negeri hari ini bersetuju mengadakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri dengan 1,000 jemputan tertentu pada 7 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Menurutnya, tetamu untuk majlis terdiri jemputan khas sahaja termasuk pemimpin pembangkang.

"Sama seperti pihak Istana Negeri yang tidak mengadakan rumah terbuka tetapi hanya majlis resepsi dengan jemputan 100 orang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hadir ke majlis berbuka puasa sekretariat Hala Tuju Sabah Maju Jaya di Sri Gaya hari ini.

Hajiji turut mengambil maklum mengenai trend penurunan kes positif COVID-19 di Sabah dan berharap virus itu akan hilang sepenuhnya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada sekretariat Hala Tuju SMJ yang bekerja keras dalam memastikan pelan strategik Kerajaan GRS-BN itu berjaya.

Katanya, Hala Tuju SMJ 1.0 mendapat pujian banyak pemimpin termasuk bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.