Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Tiada rundingan, penguatkuasaan kenderaan lebih muatan tetap dilaksanakan - Loke

Bernama 27/10/2025 | 07:16 MYT
Loke menegaskan tiada kompromi terhadap industri yang melanggar peraturan kenderaan lebih muatan, dan menolak sebarang rundingan walaupun berdepan bantahan daripada pihak industri. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak industri yang tidak mematuhi peraturan berkaitan kenderaan lebih muatan di jalan raya dan menolak sebarang rundingan berhubung isu itu.


Ringkasan AI
  • Kerajaan menegaskan tiada kompromi terhadap industri yang melanggar peraturan kenderaan lebih muatan, dan menolak sebarang rundingan walaupun berdepan bantahan daripada pihak industri.
  • Menteri Pengangkutan Anthony Loke menekankan bahawa keselamatan jalan raya lebih penting daripada kos operasi, dan penguatkuasaan undang-undang akan diteruskan tanpa pengecualian.
  • Dalam masa sama, pembangunan Sistem Data Pemandu oleh APAD sedang dalam fasa penyediaan spesifikasi teknikal dan akan melibatkan integrasi dengan agensi seperti JPJ, PDRM dan AADK.


Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata walaupun penguatkuasaan tegas menimbulkan pelbagai reaksi daripada pihak industri, kerajaan tetap berpegang kepada prinsip keselamatan jalan raya dan tidak akan bertolak ansur dengan pihak melanggar undang-undang.

"Apabila kita mengambil tindakan pengawasan yang tegas, memang akan ada bantahan daripada industri dan pelbagai amaran daripada mereka.

"Ini perkara biasa. Tetapi hakikatnya, mereka sendiri tahu amalan membawa lebih muatan telah lama berleluasa.

"Sebenarnya mereka mahu kita berunding dengan mereka. Ini bagi saya mencabar autoriti kerajaan. Mereka sudah buat salah, kemudian minta rundingan.

"Saya kata lupakan, tiada rundingan. Penguatkuasaan undang-undang akan tetap berjalan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta penjelasan mengenai rungutan beberapa persatuan pembinaan berhubung tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap kenderaan berat membawa lebih muatan, yang didakwa menyebabkan peningkatan kos bahan dan memerlukan lebih banyak perjalanan untuk mengangkut barangan.

Loke berkata amalan membawa lebih muatan telah lama berleluasa apabila banyak pihak industri mengambil pendekatan tidak mematuhi penguatkuasaan undang-undang.

"Masalahnya, bertahun-tahun mereka mengambil pendekatan tidak mematuhi penguatkuasaan undang-undang.

"Jadi apa pilihan kita? Kalau kita tunduk kepada tekanan kumpulan ini, maka lebih baik kita tutup mata sahaja dan biarkan kesalahan terus berlaku.

"Tetapi adakah kos itu lebih penting daripada nyawa manusia? Jawapan saya ialah nyawa manusia lebih penting," katanya dan menambah keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh dikorbankan demi keuntungan syarikat.

Menjawab soalan asal Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berhubung garis masa dan perincian pelaksanaan pembangunan Sistem Data Pemandu oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Loke berkata tumpuan utama ketika ini diberikan kepada penyediaan spesifikasi teknikal sistem, permohonan peruntukan pembangunan serta pengurusan proses tender bagi melantik penyedia perkhidmatan yang berkelayakan.

Beliau berkata setelah semua proses itu diselesaikan, pelantikan pelaksana dijangka dibuat dan pembangunan sistem dimulakan dalam masa terdekat.

Bagi fasa seterusnya, Loke berkata pelaksanaan sistem berkenaan akan melibatkan integrasi dengan beberapa agensi penting termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

-- BERNAMA


#Anthony Loke #kenderaan lebih muatan #Dewan Rakyat #JPJ #APAD