Tiada sekatan negeri, semua boleh balik kampung!

Astro Awani
Julai 27, 2020 07:53 MYT
Kerajaan benarkan perjalanan rentas negeri mahupun daerah untuk orang ramai pulang ke kampung halaman menyambut Hari Raya Aidiladha. - Gambar fail
Kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri mahupun daerah untuk orang ramai pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, orang ramai digesa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Semalam saya diterima macam-macam, malah ada tempat sudah ditentukan netizen. Sebenarnya tiada sekatan perjalanan sebab itu balik kampung masih boleh tetapi mesti patuh SOP.
"Walaupun dibenarkan balik, namun, kita kena jaga kita, dengan patuh SOP. Walau saya kata boleh sembelih, namun SOP perlu ada. Ia termasuk penjarakan sosial semasa ibadah korban, pakai hand sanitizer dan pemakaian pelitup muka," katanya dalam sidang media pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai bebas untuk pulang ke kampung, sekali gus menjawab persoalan kalangan orang ramai yang ditunggu-tunggu hari ini.
"Jadi walau ada kebenaran, namun kena jaga kesihatan dan keselamatan. Saya tidak tahu kenapa ada khemah, namun kita tak lakukan sekatan negeri dan daerah, mereka bebas balik," ujarnya.
#Aidiladha #hari raya #Ibadah Korban #ismail sabri yaakob #kerajaan #keselamatan #kesihatan #Media #menteri #operasi #Parlimen #PKPP #rentas negeri #SOP