[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Tiada sekolah menengah di Pulau Pinang dijadikan PPS - JPN

Bernama 25/11/2025 | 04:20 MYT
Secara keseluruhan, sebanyak 20,060 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tahun ini di 156 pusat peperiksaan di Puala Pinang. - Foto BERNAMA
NIBONG TEBAL: Tiada sekolah menengah di negeri ini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan kelancaran sepanjang tempoh Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlangsung.

Pengarah Pendidikan negeri Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata ketika ini hanya tiga PPS beroperasi melibatkan sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi dan SK Pengkalan Jaya dua di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) serta SK Permatang Pasir di Seberang Tengah (SPT),

"Pihak setiausaha kerajaan negeri memahami situasi ini dan menggunakan premis sekolah rendah sahaja bagi menguruskan mangsa banjir, jadi tidak timbul isu gangguan ketika pelaksanaan peperiksaan di sekolah menengah.

"Pada masa sama, JPN memantau keadaan cuaca semasa berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) selain bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi melihat kemungkinan berlaku banjir di kawasan tertentu," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan pada hari pertama Peperiksaan SPM 2025 di SMK Jawi, di sini hari ini.

Mohamad Dziauddin berkata taklimat turut diberikan kepada pihak sekolah dan semua agensi terlibat pada peringkat negeri bagi persediaan untuk membantu calon jika berdepan situasi banjir atau terlibat bencana dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata setakat 7.30 malam tadi, pihaknya menerima makluman bahawa terdapat lapan calon terlibat dengan banjir tetapi hanya dua yang masih ditempatkan di PPS SK Lahar Yooi, manakala selebihnya telah pulang ke rumah dan asrama sekolah.

Kedua-dua calon berkenaan ialah pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena dan akan diuruskan oleh guru untuk mengambil peperiksaan di sekolah berkenaan selain lima calon mengambil peperiksaan di hospital swasta dan kerajaan akibat kemalangan serta masalah kesihatan.

Secara keseluruhan, sebanyak 20,060 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tahun ini di 156 pusat peperiksaan dengan 1,973 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.

-- BERNAMA







#banjir #calon SPM #PPS #Sekolah Menengah