[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

'Tiada siasatan aktif terhadap pemangku pengerusi HDC, Azhari Shaari' - SPRM

Astro Awani 10/09/2025 | 02:40 MYT
SPRM menegaskan semakan keutuhan tidak mengikat pelantikan dan menasihatkan agar tiada spekulasi yang boleh menjejaskan proses semakan.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada rekod siasatan aktif atau fail terbuka terhadap pemangku Pengerusi Halal Development Corporation (HDC), Datuk Azhari Shaari, berdasarkan semakan yang dilakukan pada 30 Oktober 2024.


Ringkasan AI
  • SPRM mengesahkan tiada siasatan atau fail terbuka terhadap Datuk Azhari Shaari berdasarkan semakan pada 30 Oktober 2024.
  • Azhari pernah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda RM1,900 pada 2023; rekod masih tersenarai dalam pangkalan data SPRM.
  • SPRM menegaskan semakan keutuhan tidak mengikat pelantikan dan menasihatkan agar tiada spekulasi yang boleh menjejaskan proses semakan.


Menurut Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, penjelasan ini dibuat susulan permohonan semakan tapisan keutuhan oleh pihak HDC terhadap Azhari.

Maklum balas rasmi telah dikemukakan kepada HDC pada 4 November 2024, menyatakan secara faktual bahawa tiada siasatan aktif dijalankan terhadap beliau pada tarikh tersebut.

Namun, SPRM turut memaklumkan bahawa Azhari pernah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda RM1,900 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Oktober 2023.

Rekod sabitan itu masih tersenarai dalam Portal Data Pengkalan Rasuah SPRM.

Penjelasan ini diberikan selepas keberadaan Azhari dalam lembaga pengarah HDC dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berhubung pengakuan bersalah beliau dalam kes jenayah terdahulu.

BKS menegaskan bahawa semakan tapisan keutuhan yang dijalankan oleh SPRM adalah bersifat panduan dan tidak mengikat keputusan pelantikan.

SPRM turut menasihatkan agar tiada pihak membuat kenyataan atau spekulasi yang boleh mengelirukan serta menjejaskan proses semakan yang dijalankan secara profesional dan berintegriti.

“SPRM komited memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam setiap proses semakan dan siasatan, selaras dengan prinsip integriti serta tadbir urus yang baik,” menurut kenyataan itu.






#Ahmad Fadhli Shaari #SPRM #Rasuah #Halal Corporation Development HDC