SUNGAI BAKAP: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan ditutup di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, jaminan itu diberikan susulan masih terdapat persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa SJKT akan ditutup.
Beliau berkata, kerajaan MADANI komited memastikan kelangsungan SJKT dengan tumpuan diberikan kepada aspek pembangunan dan pendidikan di sekolah berkenaan.
"Kita bagi jaminan, sebagai kerajaan bandar ini, tiada SJKT yang akan ditutup. Malah, kita akan berikan tumpuan kepada semua sekolah untuk pembangunan, penyelenggaraan dan juga program-program yang terkait dengan pengukuhan guru dan juga para pelajar kita.
"Jadi untuk Kerajaan MADANI ini, tidak akan ada sekolah ataupun SMPT yang ditutup, kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi pembinaan SJKT Sungai Bakap, di sini, pada Ahad.
Fadhlina berkata, kepelbagaian sistem pendidikan negara yang merangkumi sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan SJKT merupakan satu kekuatan dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Sehubungan itu, semua murid tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang perlu diberikan akses kepada pendidikan berkualiti.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan sedang melaksanakan projek-projek khas bernilai RM30 juta di beberapa negeri termasuk Johor, Perak dan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada komitmen memperkukuh kemudahan pendidikan.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata pembinaan SJKT Sungai Bakap akan dilaksanakan Yayasan Didik Negara dengan tempoh pembinaan selama 56 minggu.
Katanya, projek bernilai RM12.6 juta itu akan dipantau Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan pembinaannya berjalan mengikut perancangan.
Beliau menyifatkan pembinaan sekolah berkenaan sebagai satu perkembangan penting khususnya kepada komuniti Sungai Bakap, selain menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih komprehensif untuk generasi akan datang.