Tiada solat Jumaat, solat fardu berjemaah dalam tempoh PKP di Perak

Aida Aziz
Mac 29, 2020 02:12 MYT
Solat Jumaat yang tidak dibuat secara berjemaah di surau dan masjid itu wajib diganti dengan menunaikan solat Zuhur di rumah masing-masing. - Gambar hiasan
Solat Jumaat di negeri ini tidak perlu diadakan pada 3 dan 10 April bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari berkata, semua masjid dan surau di negeri ini juga tidak perlu mengadakan solat fardu lima waktu secara berjemaah, sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri Malaysia yang mengumumkan lanjutan tempoh kawalan pergerakan sehingga 14 April 2020.
"Serta berpandukan ketetapan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak bertarikh 25 Mac 2020, berkaitan mendirikan solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah di masjid-masjid, surau diri Jumaat dan surau-surau.
"Dimaklumkan, ketetapan berkenaan wajib dipatuhi oleh semua masjid dan surau di negeri Perak sehingga solat Isyak, 14 April, 2020," katanya.
Ujarnya lagi, solat Jumaat itu wajib diganti dengan menunaikan solat Zuhur di rumah masing-masing.
Menurut Shahrul Azam, perkara itu penting dalam usaha menghentikan rantaian penularan COVID-19 yang setakat Sabtu telah mengorbankan 27 nyawa di seluruh negara.
"Semua Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Negeri Perak hendaklah melaksanakan arahan yang ditetapkan sehingga 14 April 2020," katanya.
#duduk rumah #jemaah #Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak #Perak #Perdana Menteri #perintah kawalan pergerakan #PKP #Shahrul Azam Shaari #solat fardu #Solat Jumaat #Sultan Perak