Tiada staf dan pekerja Zoo Melaka dipercayai terlibat dalam kes kematian seekor beruang matahari dan seekor kuda akibat diracun pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supt P.R Gunarajan ketika dihubungi Astro Awani mengatakan siasatan polis mendapati tiada unsur ‘orang dalam’ terlibat dalam kejadian itu.

“Kita percaya kejadian ini dilakukan secara individu dan siasatan kami buat masa ini tidak mendapati adanya wujud staf-staf atau pekerja Zoo Melaka terlibat dalam kejadian itu,” kata Gunarajan.

Rakaman kamera keselamatan zoo tersebut juga mendapati hanya seorang sahaja suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

Polis menahan seorang ahli perniagaan berumur 56 tahun di sebuah taman perumahan di Kulai, Johor pada awal pagi Rabu kerana dipercayai terlibat meracun haiwan-haiwan tersebut.

Kejadian tersebut menurutnya lebih bermotifkan dendam peribadi terhadap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan difahamkan semuanya bermula pada tahun 2011 apabila suspek yang juga pemilik sebuah zoo di Kulai telah didenda oleh Perhilitan kerana didakwa mengabaikan keaddan haiwan-haiwan disitu.

“Kebanyakkan haiwan-haiwan yang berada dalam zoo tersebut telah dirampas oleh Perhilitan dan dibawa ke Zoo Melaka,” kata beliau lagi.

Difahamkan, suspek bertindak sedemikian kerana mendapat tahu beberapa haiwan yang dirampas oleh Perhilitan dari zoonya telah mati.

Suspek dipercayai memberi makan kedua-dua haiwan tersebut dengan buah-buahan yang telah dicampur dengan racun.

Laporan bedah siasat keatas kedua-dua haiwan tersebut mendapati beruan dan haiwan itu mati kerana diracun dan siasatan pihak Zoo Melaka turut menemui beberapa buah-buahan seperti buah oren, pisang dan tebu yang telah di campur racun berada dalam kurungan haiwan seperti cimpanzi dan orang utan.

Suspek telah direman sehingga Sabtu untuk siasatan lanjut.