KUALA LUMPUR: Penyelesai hutang (liquidator) bagi SRC BVI, anak syarikat SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia tidak menemu bual mana-mana pengarah SRC International berkaitan urus niaga syarikat itu.

Angela Barkhouse, saksi kedua yang memberi keterangan dalam saman sivil US$1.18 bilion SRC International terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pada dasarnya dia merujuk kepada dokumen bank yang diberikan kepadanya terutamanya daripada PriceWaterhouseCoopers (PWC).

Barkhouse yang memberi keterangan secara dalam talian dari British Virgin Island berkata demikian ketika disoal peguam Najib Harvinderjit Singh di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Bekas pengarah SRC Internationals adalah Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

Barkhouse yang merupakan pengarah urusan Quantuma International semalam memberi keterangan bahawa dia tidak dapat mengesahkan pengarah SRC International atau SRC BVI yang mungkin telah berurusan dengan bank antarabangsa untuk membuat pemindahan mencurigakan dana fidusiari yang tidak digunakan bagi tujuan yang dimaksudkan.

Semalam dia memberitahu mahkamah bahawa sebuah syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang menerima AS$15 juta daripada SRC BVI telah memindahkan dana itu kepada beberapa individu terkemuka termasuk anak bekas perdana menteri Mongolia dan seorang ahli politik pada 2011 .

Harvinderjit: Adakah anda fikir Jho Low memainkan peranan di sebalik urus niaga ini?

Barkhouse: Tidak pasti sama ada dia individu yang mengawal segala-galanya.

Harvinderjit: Adakah anda sedar bahawa bekas jurubank BSI di Singapura didakwa kerana bersubahat dengan Jho Low dalam pemalsuan dokumen untuk membolehkan transaksi bank?

Barkhouse: Ya, saya sedar.

SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman itu pada Mei 2021, mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana syarikat, dan menyalahgunakan dana tersebut.

Syarikat itu menuntut ganti rugi am, teladan dan kerugian tambahan, serta faedah, kos dan relif lain yang sesuai yang diberikan oleh mahkamah.

Ia juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab ke atas kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya dan mereka menuntut Najib membayar balik kerugian RM42 juta yang mereka alami.

Najib, 70, menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept, 2022, dan Lembaga Pengampunan pada 29 Jan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta daripada RM210 juta.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA