PUTRAJAYA: Tiada tolak ansur diberikan kepada mana-mana pegawai awam yang didapati 'cuai' dalam menjalankan tugas dengan 'mengutip habuan' dan 'menetapkan kos tambahan', kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mengingatkan bahawa salah satu punca keruntuhan tamadun dunia ialah akibat daripada kegelojohan, mengejar kekayaan, amalan rasuah dan berhasad dengki, beliau berkata penjawat awam hendaklah sentiasa mempunyai daya integriti yang tinggi dalam menolak rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

"Kesan buruk perbuatan terkutuk tersebut bukan sahaja dapat menjejaskan pembangunan negara, tetapi rezeki yang tidak berkat tersebut juga akan dipersoal semasa akhirat kelak," katanya dalam ucapannya pada Majlis Apresiasi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Mohd Zuki berkata keseriusan kerajaan menangani isu integriti dan amalan tadbir urus perkhidmatan awam yang baik, akan dapat meningkatkan lagi keyakinan pelabur luar terhadap Malaysia, sekali gus memperkukuhkan ekonomi negara yang berkembang pada kadar 5.6 peratus pada suku pertama 2023, yang disifatkan sebagai pertumbuhan yang sihat di tengah-tengah pemulihan sektor ekonomi negara.

Beliau yang menekankan budaya kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran dalam merancang sebarang program atau menguruskan perbelanjaan organisasi, turut menyeru JPM agar menjadi contoh dalam pelaksanaan perbelanjaan secara berhemah, serta hanya berbelanja mengikut peruntukan sedia ada.

"Ini termasuklah semua proses perolehan hendaklah dilaksanakan mengikut tatacara dan peraturan sedia ada," katanya.

Mengenai gagasan dan Konsep Malaysia MADANI, Mohd Zuki berkata ia tidak boleh dilihat sebagai satu fahaman politik dan slogan semata-mata, namun perlu difahami oleh semua peringkat penjawat awam dan diterjemahkan kepada usaha murni berterusan yang dilaksanakan kerajaan.

Malaysia MADANI berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan, sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Mengupas rukun-rukun dalam konsep Malaysia MADANI itu, Mohd Zuki berkata tingkah laku penjawat awam mencerminkan adab dan maruah perkhidmatan awam sendiri, justeru sifat berbudi bahasa dan bersopan santun haruslah sentiasa disemai dalam budi pekerti setiap penjawat awam.

Beliau berkata penjawat awam perlu sedia mendengar pandangan yang dilontarkan oleh rakyat dan menerima sebarang teguran terhadap kekurangan serta kekhilafan yang berlaku, serta boleh ditambah baik dari semasa ke semasa melalui Kajian Kepuasan Pelanggan dan Maklum Balas Pelanggan.

"Data dan statistik yang diperolehi menerusi kajian itu amat penting, untuk menilai sikap penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat melalui sikap berhemah, adil dan berintegriti.

"Sikap saling menghormati antara penjawat awam dan rakyat akan menjadi asas kepada kelangsungan sistem kerajaan dan kemajuan negara," katanya.

Beliau turut menyarankan amalan no gift policy dalam perkhidmatan awam sentiasa diuar-uarkan oleh semua agensi terutamanya di JPM, dengan mengambil kira aspek integriti bagi dapat membina jambatan kepercayaan terhadap penjawat awam.

Selain itu, katanya mentaliti 'silo' dalam perkhidmatan awam juga perlu dibuang jauh dan dengan kerjasama dan perkongsian antara rakan strategik, ia mampu merangsang semangat kreatif dan inovasi dalam kalangan penjawat awam.

"Penjawat awam juga perlu berfikir di luar kotak kelaziman untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih berkualiti, yang dapat memenuhi kehendak dan aspirasi pelanggan, dan pada masa sama mempamerkan tahap daya fikir, kreativiti dan inovasi yang tinggi," katanya.

Pada majlis apresiasi berkenaan, Mohd Zuki menyampaikan sijil dan anugerah kepada 29 pesara bagi tahun 2023, 206 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan 233 penerima Anugerah Inovasi dan Kecemerlangan 2022 daripada 33 jabatan dan agensi di bawah JPM.

-- BERNAMA