PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) membuat rumusan bahawa tiada asas membabitkan isu buli dalam kes kematian doktor pelatih setelah ditemukan terjatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April lalu.

Menurut Pengerusinya, Profesor Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, dapatan tersebut adalah hasil analisis laporan dan pengesahan insiden kematian pegawai perubatan siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang.

"Tiada bukti yang kukuh bagi kaitkan insiden kematian dengan unsur buli di tempat kerja.

"HWCITF mengekalkan pandangan ini selagi mana tiada maklumat tambahan berkaitan insiden kematian PPS daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia) menerusi siasatan mereka ke atas kes ini," kata beliau dalam sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, maklum balas kaji selidik berkaitan budaya kerja membabitkan warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mendapati lebih 60 peratus responden memberikan respon yang positif.

Bagaimanapun, katanya, pihak HWCITF juga mengesahkan bahawa berlaku 'burnout' dan buli dalam kalangan warga KKM, namun, pada tahap yang berbeza dan tidak membabitkan semua fasiliti kesihatan.

"Perilaku buli juga tidak hanya berlaku dalam kalangan PPS, malah ia berlaku merentasi keseluruhan taburan warga kerja KKM secara langsung atau tidak langsung.

"Antara faktor penyumbang ialah kekurangan kecekapan, kemahiran dan tahap kesediaan untuk melaksanakn tugasan yang diamanahkan,” jelas Dr Siti Hamisah.

Selain itu HWCITF turut mendapati pematuhan terhadap pelaksanaan sistem kerja fleksi PPS dalm garis panduan tidak menyeluruh dan latihan PPS juga tidak konsisten antara sesebuah hospital dengan hospital yang lain.

HWCITF, katanya, turut melihat keperluan untuk mengoptimumkan bilangan sumber manusia dan kemudahan infrastruktur dalam memastikan kesinambungan penjagaan pesakit dalam keadaan terbaik.

Daripada semua dapatan itu juga, HWCITF telah mengemukakan 10 syor utama penambahbaikan dalam perkhidmatan warga KKM.

"HWCITF berpandangan bahawa kerjaya dalam perkhidmatan kesihatan amat mencabar dan memerlukan individu yang benar-benar komited dan sanggup melaui latihan dan cabaran persekitaran pekerjaan.

"Mereka juga harus bersedia untuk berhadapan dengan beban kerja yang tinggi dan tempoh waktu kerja yang panjang," ujar beliau lagi.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan, kesemua hasil dapatan menerusi laporan HWCITF telah diserahkan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 11 Ogos lalu.

HWCITF ditubuhkan pada 13 Mei lalu bagi menganalisis maklumat dan hasil siasatan insiden kematian seorang PPS di Hospital Pulau Pinang.

Penubuhan pasukan khas itu juga ekoran laporan dan aduan diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental dihadapi bukan sahaja oleh PPS, malahan kakitangan perkhidmatan kesihatan semasa melaksanakan tugas mereka

Pada Mei lalu, HWCITF turut melaksanakan kaji selidik dan sesi libat urus dengan pihak tertentu bagi mendapatkan maklum balas berhubung budaya kerja di setiap organisasi di bawah KKM.