SHAH ALAM: Polis menegaskan tiada unsur provokasi dalam kes curi tabung di sebuah Masjid di Seksyen 7 di sini melibatkan empat lelaki tempatan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata sebaliknya hasil siasatan mendapati suspek masing-masing berusia antara 17 hingga 26 tahun itu hanya terdesak dan memerlukan wang segera.
Advertisement
“Di kesempatan ini saya juga ingin menasihatkan kepada pihak pengurusan masjid atau surau untuk menggunakan kamera litar tertutup yang asli dan bukan decoy bagi tujuan keselamatan serta mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Sabtu lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan syabas kepada pasukan polis Selangor atas tindakan pantas dan berkesan menahan pelaku kejadian tersebut.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Ottice, Sultan Sharafuddin secara khusus menzahirkan penghargaan kepada Shazeli dan Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol.
Baginda memandang serius kejadian kecurian tabung masjid itu tanpa mengira siapa pun dalang di sebaliknya, sambil menegaskan wang yang dikumpulkan menerusi tabung masjid adalah amanah umat Islam, hasil sumbangan ikhlas jemaah untuk kebajikan, pengimarahan rumah Allah serta membantu golongan yang memerlukan.
-- BERNAMA