Skip to main content

Malaysia

Tiada wang tambang, empat remaja ditahan serang pemandu e-hailing

81764744533_TBgari.jpg
Kesemua suspek direman sehingga esok sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. - Gambar hiasan

ALOR GAJAH: Empat remaja, termasuk dua perempuan berusia 14 tahun, ditahan polis kerana dipercayai menyerang seorang pemandu e-hailing wanita dalam kejadian di Kuala Sungai Baru, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 41 tahun mengalami kecederaan lebam dan bengkak di beberapa bahagian badan termasuk kepala, tangan dan kaki, selain kesan jerutan di leher.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, sebelum kejadian mangsa mengambil empat penumpang terdiri daripada dua remaja perempuan berusia 14 tahun serta dua remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun di kawasan Bukit Rambai.

“Sebaik tiba di lokasi berhampiran kawasan hutan di Pekan Kuala Sungai Baru, seorang suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu mencari seseorang kerana tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran tambang secara dalam talian.

“Beberapa minit kemudian, tiga suspek kembali ke kenderaan dan bertindak agresif dengan menyerang mangsa menggunakan objek keras,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati seorang remaja perempuan dipercayai memukul mangsa menggunakan batang besi, manakala seorang lagi menarik rambut mangsa.

“Seorang suspek lelaki berusia 17 tahun pula dipercayai menjerut leher mangsa dari arah belakang,” katanya.

Tambahnya, seorang lagi suspek lelaki berusia 15 tahun dipercayai tidak terlibat dalam serangan dan melarikan diri dari lokasi kejadian.

Mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan memandu keluar dari lokasi sebelum membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di hospital.

Susulan laporan itu, polis menahan kesemua remaja terbabit pada petang 14 Mei bagi membantu siasatan.

“Mereka direman sehingga esok sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Dalam pada itu, Ahmad menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak agar tidak terlibat dalam kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
 

 

Must Watch Video