Polis menahan pemandu treler membawa tiang konkrit yang menyebabkan kemalangan maut selepas muatan tersebut terjatuh dan menghempap sebuah kenderaan di Kilometer 256.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Terowong Menora dekat sini, malam tadi.

Dalam kemalangan yang melibatkan tujuh buah kenderaan itu, dua lelaki maut di tempat kejadian dan dua wanita parah selepas kereta jenis Honda City yang mereka naiki dipercayai dihempap tiang konkrit yang terjatuh dari treler berkenaan.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta Leong Woei Ser, 34, dan Cheah Kim Seng, 60, manakala dua wanita parah ialah Cheah Mun Yee, 30, dan Cheah Mee Yee, 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ismail berkata, ujian air kencing terhadap pemandu treler berusia 41 tahun itu didapati negatif.

Menurutnya, siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan 18 tiang konkrit dari arah selatan menuju ke arah utara mengalami masalah brek ketika menuruni bukit.

“Sampai di tempat kejadian, treler dipercayai cuba mengelak dari melanggar kenderaan di hadapan dengan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan lalu mengakibatkan muatan yang dibawa telah jatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA: Tiang konkrit jatuh dari treler, dua maut, dua cedera

Menurutnya, dua batang tiang konkrit dipercayai telah jatuh di atas pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan di mana satu daripadanya telah menghempap kereta jenis Honda City yang dari arah bertentangan.

Razali berkata, tiang tersebut bergolek lalu dilanggar oleh sebuah kereta jenis Perodua Axia sebelum tiang berkenaan dirempuh sebuah lagi treler.

Beberapa tiang konkrit terjatuh dari sebuah treler di Kilometer 256.1 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Terowong Menora malam tadi. Foto ihsan PDRM

Pemandu kedua-dua kenderaan itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurut Razali, tiang kedua yang terjatuh pula telah dilanggar tiga kenderaan lain tetapi pemandu ketiga-tiga kenderaan berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.