NATIONAL
Tiba masa ubah stigma TVET aliran ketiga di belakang sains, sastera

Cabaran kini mengubah tanggapan bahawa TVET adalah pilihan terbaik untuk individu yang tidak begitu cemerlang dalam akademik. - Gambar hiasan/Pexels
KUALA LUMPUR: Bertahun-tahun lamanya, aliran sains sering diklasifikasikan sebagai pilihan pertama, manakala aliran sastera sekadar ada sahaja.
Kini, muncul pula Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan elemen baharu seperti Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).
Berdasarkan kajian tertentu, ibu bapa lebih percaya anak mereka akan berjaya sekiranya mengambil aliran pertama, iaitu sains. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi jumlah pengambilan pelajar TVET di peringkat tinggi, walaupun sains dan TVET sebenarnya berkait.
Cabaran kini ialah mengubah tanggapan bahawa TVET adalah pilihan terbaik untuk individu yang tidak begitu cemerlang dalam akademik, dan menganggap ia sebagai jalan untuk memastikan individu itu tidak terus gagal dalam kehidupan.Ba Gow Jie dan Ruhizan Mohd Yasin dari UKM dalam kajian mereka bertajuk "Usaha Meningkatkan Kesedaran Pelajar dan Ibu Bapa Terhadap Kebolehpasaran Pekerjaan dalam Bidang TVET" mendedahkan, ada keperluan untuk meningkatkan kesedaran pelajar dan ibu bapa terhadap kebolehpasaran pekerjaan dalam bidang TVET yang berada pada tahap tinggi.
Ini dilihat bertepatan dengan keadaan negara sekarang yang mementingkan bidang TVET.
“Masyarakat perlu mengubah persepsi negatif terhadap aliran TVET kerana peluang kerjaya dalam bidang TVET ini sangat luas dan perlu diisi dengan pekerja tempatan.
Semua pihak juga perlu memberi galakan kepada pelajar-pelajar untuk menyertai bidang TVET kerana kebolehpasaran pekerjaan sangat tinggi dan secara langsung dapat mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan remaja di Malaysia,” menurut kajian mereka lagi.
Berdasarkan statistik sewaktu kajian mereka ditulis, dianggarkan kurang daripada 3 peratus (3,000 pelajar) bukan Melayu di institusi awam TVET, tetapi kira-kira 50 – 70 peratus (18,841 – 26,377) pelajar bukan Melayu di institusi swasta TVET.
Ini jelas kontra dengan jumlah 98 peratus (138,779) pelajar Melayu di institusi awam TVET manakala 30 – 50 peratus (11,305 – 18,841) pelajar Melayu di institusi swasta TVET.
Bagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, TVET bukan lagi pilihan kedua untuk pelajaran peringkat lebih tinggi.
Keberhasilan yang dapat disaksikan melalui Majlis TVET Negara, katanya lagi, ialah mentransformasi bidang tersebut ke arah melahirkan tenaga mahir warga tempatan, bagi memenuhi keperluan industri negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah berkata, pembiayaan dalam bidang-bidang ini akan menggalakkan institusi TVET membangunkan program-program latihan selari dengan hasrat Kerajaan untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).
Ia dilihat kritikal untuk mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai yang akan mengubah sifat pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir.
Seringkali TVET atau pekerjaan berasas kemahiran dikait dengan bengkel motor atau kereta, mengendali mesin di kilang, atau sebahagian daripada tenaga buruh yang membina bangunan atau infrastruktur.
Sedangkan, bidangnya cukup luas, merangkumi antara lain kejuruteraan, elektronik dan telekomunikasi, pengurusan projek dan infrastruktur, hinggalah mengendali peralatan makmal canggih di klinik dan hospital.
Jangan dilupa peluang TVET luas di bahagian hospitaliti dan pelancongan, syarikat pengangkutan dan firma logistik, tidak kurang juga di bahagian seni kreatif dan perniagaan agro.
Jika kemahiran itu terletak di aras yang tinggi dan amat diperlukan dalam ekosistem pembangunan negara, ia dilihat tepat dengan aspirasi Ahmad Zahid yang mahu memastikan graduan TVET memperoleh sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.
Seperti yang Dr Wan Chang Da, Felo Pelawat Yusof Ishak Institute (ISEAS) nukilkan, walaupun pendidikan tinggi akademik terus didorong oleh universiti melalui pembangunan pengetahuan baru dan aplikasinya, satu ciri utama sistem TVET yang diiktiraf secara global.
Mengambil contoh seperti di Jerman, beliau berkata, kerjasama erat antara syarikat dan penyedia yang seterusnya dipermudahkan melalui polisi, peraturan, dan insentif oleh kerajaan.
Peranan penyelarasan kerajaan, katanya lagi, bukannya penglibatan langsung sebagai penyedia, telah membolehkan ekosistem TVET Jerman sangat responsif terhadap keperluan pasaran buruh.
“Oleh itu, mewujudkan perbezaan yang jelas antara TVET dan pendidikan tinggi akademik berpotensi menangani beberapa cabaran sedia ada di Malaysia secara organik. Sebagai contoh, dengan industri dan syarikat yang terlibat secara langsung dalam memacu pembangunan TVET, pembiayaan dan penajaan boleh diubah menjadi latihan di tempat kerja dan pembangunan berterusan.
“Selain itu, cabaran promosi dan penjenamaan, yang kini menjadi tanggungjawab institusi TVET, juga akan beralih kepada syarikat yang perlu memprojekkan profesionalisme dan prospek kemahiran khusus dalam industri mereka,” katanya lagi.
Justeru, selain laluan konvensional, Kerajaan MADANI telah memperkenalkan sistem UP_TVET untuk memudahkan kemasukan pelajar ke kursus-kursus di institusi TVET seluruh negara.
Sistem ini bertujuan untuk menyelaraskan proses permohonan melalui satu saluran sahaja, menjadikannya lebih efisien dan mudah diakses oleh semua.
UP_TVET adalah sistem permohonan kursus TVET berpusat secara dalam talian yang dibangunkan bagi memudahkan proses permohonan kursus TVET. Sistem ini menawarkan dua kategori utama permohonan:
1. **UP_TVET Perdana**:
- Menawarkan kursus jangka masa panjang dan persijilan penuh dari institusi TVET awam.
- Permohonan dibuka dua kali setahun, iaitu pada bulan Januari dan Julai.
- Ambilan Julai 2025 dibuka dari 14 April hingga 15 Jun 2025.
2. **UP_TVET Flexi**:
- Menyediakan kursus penuh dan micro credential dari institusi TVET awam dan swasta.
- Permohonan dibuka sepanjang tahun, memberikan fleksibiliti kepada pelajar.
- Sistem ini telah dibuka sejak Januari 2025.
Permohonan UP_TVET Perdana Ambilan Julai 2025 akan dibuka dari 14 April 2025 hingga 15 Jun 2025. Manakala, permohonan UP_TVET Perdana Ambilan Januari 2026 dijadualkan akan dibuka pada bulan Oktober 2025.
Bagi pelajar atau individu yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program TVET, anda boleh mengakses https://mohon.tvet.gov.my.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami