PAROI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam penggunaan retorik perkauman dalam politik dengan menyifatkannya sebagai penghinaan terhadap maruah manusia serta bertentangan dengan semangat perpaduan dan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan, Malaysia telah hampir 70 tahun mencapai kemerdekaan dan rakyat perlu bersikap lebih matang dengan menerima hakikat bahawa setiap warganegara tanpa mengira kaum merupakan sebahagian daripada keluarga besar Malaysia.
“Maka ada masih sekarang ini, tengah simpang-siur politik ini, ada yang masih mengatakan ‘Cina balik China, India balik India’. Itu menghina manusia.
“Kalau saya tanya anak India seorang, balik India, dia tahu balik di mana? Dia tak tahu. Yang dia tahu ini negeri dia,” katanya semasa berucap dalam Program Temu Anwar di Dewan Pusat Dakyah Islamiah, Paroi.
Menurut Anwar, pengiktirafan terhadap hak rakyat daripada semua kaum tidak sekali-kali bermaksud menolak atau menghakis kedudukan orang melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan.
Beliau berkata, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera kekal terpelihara, manakala Perlembagaan pada masa sama menjamin hak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
“Perlembagaan juga beri jaminan bahawa rakyat Malaysia ini daripada semua kaum harus dirangkul sebagai suatu keluarga. Kita mesti beri pengiktirafan kepada mereka.
“Pengiktirafan kepada semua itu tidak bermakna menolak sesiapa. Kedudukan orang Melayu masih terjamin,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, usaha mempertahankan hak masyarakat India dan Cina tidak pernah bertujuan merendahkan kedudukan orang Melayu atau mengubah asas Perlembagaan negara.
Sebaliknya, beliau menegaskan, politik yang membangkitkan sentimen kebencian antara kaum hanya bertujuan meraih sokongan sempit dan tidak membawa manfaat kepada negara.
“Kalau nak Melayu berjaya, Melayu itu mesti ada prinsip, mesti terdidik dan menjadi contoh yang baik.
“Tidak menghina orang, adil dan saksama. Rasulullah SAW itu contoh terbaik, bukan kerana Baginda Arab, tetapi kerana Baginda contoh manusia yang terbaik,” katanya.
Anwar turut menegaskan, beliau mahu dikenang sebagai seorang Perdana Menteri yang adil dan mengasihi seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
“Saya cuba sedaya upaya saya nak jadi seorang Perdana Menteri yang baik, yang adil, yang jaga semua dan mengasihi rakyat. Saya nak rakyat mengasihi saya, bukan kerana saya Melayu, tetapi kerana saya berlaku adil kepada semua,” katanya.