KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menafikan wujud pertimbangan khusus kepada Sabah dan Sarawak dalam pemberian peruntukan pembangunan kepada dua wilayah tersebut menerusi Belanjawan 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, peningkatan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak kerana kesepakatan yang dicapai dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan atas faktor kemajuan.

"Ada yang bangkitkan dalam perbahasan di Dewan Rakyat mengapa kita pilih untuk memberikan peruntukan yang tinggi di Sabah dan Sarawak.

"Saya telah jelaskan bahawa pertama, kita terikat dengan Perjanjian Malaysia 1963. Kedua, beberapa daerah terutama pedalaman dan terpencil, di Sabah dan Sarawak itu keadaanya sangat terkebelakang ketimbang kemajuan di negeri-negeri Semenanjung.

"Maka oleh itu peruntukan pembangunan Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion, dan Sabah meningkat kepada RM6.6 bilion.

"Tidak adil untuk dibandingkan dengan peruntukan negeri-negeri Semenanjung kerana keluasan dan permasalahan," katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kadar Pemberian Khas kepada Sarawak dan Sabah turut ditingkat di bawah
Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, kedua-dua wilayah tersebut menerima RM300 juta berbanding RM16 juta yang diterima Sarawak sejak 1969, manakala RM125.6 juta kepada Sabah pada 2022.

Dalam masa yang sama, Anwar menambah Kerajaan Persekutuan dan Sabah turut mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.