[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

Tidak adil letak penanda aras ketika AKPS tidak cukup tenaga kerja - Mohd Shuhaily

Umavathi Ramayah 17/12/2025 | 09:09 MYT
Mohd Shuhaily berkata, pengambilan pegawai baharu hanya boleh dilaksanakan sepenuhnya selepas skim perkhidmatan AKPS diwujudkan secara rasmi. - Bernama
PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan adalah tidak adil agensi itu meletakkan penanda aras atau sasaran prestasi sekiranya keperluan tenaga kerja masih belum dipenuhi.


Ringkasan AI
  • AKPS tidak seharusnya dikenakan penanda aras atau sasaran prestasi dengan kekurangan tenaga kerja yang dihadapi.
  • Dapatan Tim Nukleus AKPS menyarankan perlunya 13,721 pegawai untuk operasi optimum, namun hanya lebih 6,000 pegawai disediakan setakat ini.
  • Penggunaan teknologi seperti mesin pengimbas mungkin dapat membantu meringankan beban tugasan AKPS yang kekurangan tenaga kerja.


"Bagaimana kita mahu menetapkan penanda aras sedangkan kekuatan keanggotaan masih belum mencukupi?

"Dapatan Tim Nukleus AKPS mencadangkan seramai 13,721 pegawai diperlukan bagi membolehkan AKPS beroperasi secara optimum, terutama dengan perancangan untuk mengambil alih keseluruhan pintu masuk negara yang dianggarkan lebih 120 lokasi.

"Saya tidak boleh meletakkan penanda aras apabila saya tidak mempunyai tenaga kerja yang diperlukan. Ia sesuatu yang tidak adil," katanya dalam satu temubual di pejabatnya di sini, pada Rabu.

Mohd Shuhaily berkata, setakat ini AKPS hanya diperkukuhkan dengan lebih 6,000 pegawai yang ditempatkan di 22 pintu masuk negara, iaitu kira-kira separuh daripada jumlah keanggotaan yang disyorkan oleh pasukan nukleus.

"Cabaran utama ialah untuk menempatkan jumlah pegawai yang mencukupi bagi memastikan setiap pintu masuk menjadi pintu masuk yang selamat. Tanpa kekuatan tenaga kerja yang mencukupi, sukar untuk menjadikan penugasan lebih efisien dan efektif," ujarnya lagi.

Mohd Shuhaily berkata, cabaran lain agensi berkenaan adalah apabila sebahagian besar pegawai dan anggotanya yang datang daripada enam agensi teras iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) harus melaksanakan tugas hakiki mereka.

Sehubungan itu jelas beliau, pengambilan pegawai baharu hanya boleh dilaksanakan sepenuhnya selepas skim perkhidmatan AKPS diwujudkan secara rasmi.

Namun kata beliau, Kerajaan melalui Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memberi keutamaan dalam perihal ini.

"Kerajaan kini sedang berusaha keras bersama kita merealisasikan impian ini," jelasnya.

Beliau bagaimanapun berkata, pada masa ini penggunaan teknologi terkini termasuk mesin pengimbas mungkin mampu meringankan sedikit bebanan yang ada terhadap tugasan di lapangan dan peluang itu digunakan sebaik mungkin untuk menampung segala kekurangan.





#Mohd Shuhaily Mohd Zain #AKPS #tenaga kerja #Sempadan Negara